Bronkodilator untuk bronkiolitis untuk bayi yang semput kali pertama

Apakah bronkiolitis?

Bronkiolitis ialah satu jangkitan virus akut paru-paru yang sangat mudah berjangkit lazimnya di dalam bayi berusia 0-12 bulan. Ia berlaku setiap tahun pada bulan-bulan musim sejuk. Ia menyebabkan keradangan laluan udara kecil di dalam paru-paru dan dipenuhi dengan puing. Laluan udara menjadi sempit dan ini membawa kepada penyekatan laluan udara bebas. Bayi akan mengalami batuk yang teruk, hidung berair dan biasanya demam. Bayi boleh sesak nafas, semput dan kekurangan oksigen.

Mengapa mengulas bronkodilator?

Bronkodilator adalah ubat-ubatan yang sering diguna sebagai aerosol untuk meluaskan laluan udara dengan mengendurkan otot bronkial. ia berkesan dalam membantu kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa dengan asma. Walau bagaimanapun, berbeza dengan pesakit asma, bayi dengan bronkiolitis akan semput buat kali pertama. Mereka semput atas sebab-sebab berbeza, kerana laluan udara mereka tersumbat dengan puing. Oleh itu, bayi dengan bronkiolitis kurang respon kepada bronkodilators

Ciri-ciri kajian

Kami mengulas bukti-bukti tentang kesan bronkodilator untuk bayi dengan bronkiolitis. Kami mendapati 30 kajian yang melibatkan sejumlah 1922 bayi, di beberapa buah negara. Bukti-bukti adalah terkini sehingga Januari 2014. Kami menganalisis kajian yang dijalankan di persekitaran pesakit luar dan pesakit dalam secara berasingan. Semua bronkodilator dimasukkan dalam ulasan ini kecuali epinefrin kerana ia telahpun diulas dalam ulasan Cochrane yang lain. Albuterol (atau dikenali sebagai salbutamol) biasanya digunakan dalam kajian, jadi kami juga mengulas bronkodilator ini sebagai subkumpulan.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada kesan bronkodilator terhadap ketepuan oksigen. Bayi dalam hospital untuk bronkiolitis menunjukkan tiada manfaat signifikan rawatan bronkodilator. Ulasan ini juga mendapati bronkodilator tidak mengurangkan keperluan untuk kemasukan ke hospital, tidak memendekkan tempoh tinggal di hospital dan tidak memendekkan tempoh sakit di rumah. Ulasan subkumpulan kajian yang menggunakan albuterol (salbutamol), kami mendapati bronkodilator ini tidak berkesan terhadap ketepuan oksigen atau skor klinikal. Kesan-kesan sampingan bronkodilator termasuk denyut jantung yang cepat, pengurangan oksigen dan menggeletar. Memandangkan kesan sampingan, dan perbelanjaan berkaitan dengan rawatan-rawatan tersebut, kurang bukti bahawa ia berkesan dan bronkodilator tidak membantu dalam pengurusan bronkiolitis.

Kualiti bukti

Ulasan ini terbatas dengan bilangan kecil kajian yang menggunakan ukuran dan kaedah yang sama. Sebagai contoh, hanya 22 kajian memasukkan bayi bersemput buat pertama kali. Kajian terdahulu melibatkan kanak-kanak yang pernah mengalami semput dan mungkin telah menghidap asma. Oleh itu kajian-kajian terdahulu memihak kepada penggunaan bronkodilator. Kajian terbaharu yang tidak melibatkan bayi yang pernah semput dan mempunyai reka bentuk kajian yang lebih baik tidak menunjukkan manfaat bronkodilator. Ulasan ini juga terhad dengan bilangan kecil bayi yang dimasukkan ke dalam setiap kajian. Akhir sekali, skor klinikal yang digunakan untuk mengukur kesan bronkodilator dalam beberapa kajian mungkin berbeza di antara pemerhati, membuatkan ukuran ini tidak boleh dipercayai. Kajian yang melibatkan lebih ramai bayi, menggunakan ukuran yang lebih baik dan mempunyai reka bentuk kajian yang lebih mantap amat diperlukan untuk menentukan keberkesanan ubat-ubatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save