Ubat-ubatan bagi mencegah pencairan bekuan darah (terapi antifibrinolitis) untuk meningkatkan pemulihan selepas pendarahan subaraknoid daripada aneurisme yang pecah (aneurismal)

Soalan kajian

Apakah kesan rawatan antifibrinolitis pada pesakit yang mengalami pendarahan subaraknoid aneurismal?

Latar belakang

Pendarahan subaraknoid adalah pendarahan ke dalam ruangan kecil antara otak dan tengkorak yang mengandungi saluran darah yang membekalkan otak (ruangan subaraknoid). Punca pendarahan jenis ini selalunya adalah disebabkan oleh pecahnya bahagian lemah (aneurisme) pada salah satu saluran darah pada otak. Pendarahan subaraknoid adalah sejenis strok yang agak jarang berlaku, tetapi selalunya berlaku pada usia muda (separuh penghidap berumur lebih muda daripada 50 tahun), dan oleh itu, mempunyai kesan sosioekonomi yang signifikan. Kesan berikutan pendarahan subaraknoid selalunya lemah; satu pertiga daripada penghidap mati selepas pendarahan, dan daripada mereka yang terselamat, satu perlima akan memerlukan bantuan bagi aktiviti harian. Penyebab utama pemulihan teruk selepas pendarahan subaraknoid adalah pendarahan berulang (recurrent) daripada aneurisme (rebleeding). Ini dianggap berpunca daripada pencairan bekuan darah semula jadi (fibrinolisis). Ubat-ubatan yang mengurangkan kecepatan pencairan bekuan darah, dipanggil ubat antifibrinolitis, yang telah diperkenalkan sebagai rawatan untuk mengurangkan risiko terhadap pendarahan berulang dan meningkatkan pemulihan selepas pendarahan subarachnoid.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2022. Ulasan ini tsertakan 11 kajian, dengan sejumlah 2717 peserta, yang telah menyiasat kesan ubat antifibrinolitis pada penghidap pendarahan subaraknoid yang disebabkan oleh aneurisme yang pecah. 

Keputusan utama

Rawatan antifibrinolitis mengurangkan risiko pendarahan semula, tetapi tidak meningkatkan kadar kelangsungan keseluruhan, atau peluang untuk berdikari dalam aktiviti harian. Kami menyimpulkan bahawa tiada bukti yang menyokong pemberian rawatan antifibrinolitik secara rutin kepada penghidap pendarahan subaraknoid yang disebabkan oleh aneurisme yang pecah.

Kualiti bukti

Kami menaksir hasil sebagai berkualiti sederhana hingga tinggi, iaitu kami sangat atau sederhana yakin dengan hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information