Sokongan untuk ibu-ibu yang menyusu bayi

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan bahawa bayi harus diberi susu ibu secara eksklusif sehingga usia 6 bulan. Selepas itu, penyusuan harus diberi secara berterusan sebagai satu komponen penting dalam pemakanan bayi sehingga sekurang-kurangnya usia 2 tahun. Ini adalah kerana terdapat bukti yang banyak mengenai risiko jangka pendek dan panjang terhadap ibu dan bayi jika ibu tidak memberi penyusuan. Ramai ibu menghentikan penyusuan sebelum mereka mempunyai keinginan kerana masalah-masalah yang kebanyakkannya boleh dielakkan dengan penjagaan dan sokongan yang baik. Penamatan awal penyusuan boleh menyebabkan kecewaan dan kesedihan untuk ibu dan boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Antara cara-cara sokongan termasuklah memberi keyakinan, pujian, maklumat, dan peluang untuk berbincang dan menjawab soalan-soalan ibu. Ulasan ini melihat sama ada penyediaan sokongan tambahan untuk ibu oleh profesional atau orang awam terlatih atau kedua-duanya boleh membantu ibu untuk terus menyusu apabila dibandingkan dengan penjagaan bersalin berpiawaian. Ulasan ini mendapat 52 kajian rambang terkawal yang meliputi lebih daripada 56,000 wanita. Apabila semua bentuk sokongan tambahan dikaji bersama-sama, tempoh masa penyusuan ibu dan tempoh masa penyusuan yang tidak memerlukan cecair atau makanan lain untuk bayi telah meningkat. Sokongan yang diberi oleh orang awam dan profesional boleh memberi kesan yang positif kepada pencapaian tempoh penyusuan. Sokongan yang diberi secara bersemuka telah dikaitkan dengan kesan rawatan yang baik berbanding dengan sokongan melalui telefon. Sokongan yang hanya ditawarkan kepada wanita yang ingin mendapatkan bantuan berkemungkinan adalah tidak berkesan. Ini menunjukkan bahawa wanita harus ditawarkan lawatan berterusan yang boleh diramal dan dijadualkan. Intervensi yang menyediakan sokongan tambahan boleh memberi kesan yang lebih ketara apabila terdapat latar berlakang yang menunjukkan kadar permulaan penyusuan yang tinggi. Akan tetapi, pandangan wanita mengenai intervensi sokongan ini tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian tersebut. Sokongan tersebut perlu disesuaikan dengan suasana dan keperluan kumpulan penduduk. Oleh itu, kajian lanjutan diperlukan untuk mengenal pasti aspek sokongan yang paling berkesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching, Melaka Manipal Medical College. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Berkongsi/Menyimpan