Sokongan untuk ibu-ibu yang memberi susu ibu

Apakah isunya?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan bahawa bayi harus diberi susu ibu secara eksklusif sehingga usia 6 bulan dengan meneruskannya sebagai satu komponen penting diet bayi sehingga sekurang-kurangnya usia dua tahun. Kita tahu bahawa penyusuan susu ibu adalah baik untuk kesihatan wanita dan bayi mahupun jangka masa pendek atau panjang. Bayi-bayi kurang cenderung untuk mendapat jangkitan dalam saluran penghadaman, paru-paru atau saluran udara, dan telinga. Mereka juga kurang cenderung untuk menjadi gemuk dan mengalami penyakit kencing manis pada masa hadapan. Ibu-ibu juga kurang cenderung untuk mendapat penyakit kencing manis dan mengalami kanser payudara atau kanser ovari. Ramai ibu mungkin menghentikan penyusuan lebih awal akibat permasalahan yang mereka hadapi. Penjagaan dan sokongan yang baik boleh membantu wanita menyelesaikan masalah-masalah ini supaya mereka boleh terus menyusukan bayi.

Kenapa ianya penting?

Dengan mengetahui apa jenis sokongan boleh disediakan untuk membantu ibu-ibu dengan penyusuan susu ibu, kami boleh membantu mereka menyelesaikan masalah dan meneruskan penyusuan selama mana yang mereka mahu, dan di mana sahaja mereka berada. Penghentian awal penyusuan boleh menyebabkan kekecewaan dan distres bagi ibu dan masalah kesihatan untuk ibu dan bayi. Sokongan boleh dalam bentuk jaminan, pujian, maklumat, dan peluang bagi wanita untuk membincangkan masalah dan bertanya soalan apabila perlu. Ulasan ini melihat sama ada penyediaan sokongan tambahan yang teratur untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi boleh membantu ibu-ibu untuk meneruskan penyusuan berbanding penjagaan bersalin standard. Kami berminat dalam sokongan daripada profesional kesihatan termasuk bidan, jururawat dan doktor, atau daripada pekerja biasa yang dilatih seperti pekerja kesihatan masyarakat dan sukarelawan.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mencari bukti pada 29 Februari 2016 dan mengenal pasti lebih 31 kajian baru untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Ulasan kemaskini memasukkan 100 kajian rawak terkawal yang melibatkan lebih daripada 83,246 wanita. 73 kajian yang menyumbang kepada analisis adalah dari 29 negara dan melibatkan 74,656 wanita. 62% daripada wanita-wanita tersebut adalah dari negara-negara berpendapatan tinggi, 34% daripada negara berpendapatan sederhana dan 4% daripada negara-negara berpendapatan rendah

Semua bentuk sokongan tambahan terancang telah dianalisis bersama-sama dan menunjukkan peningkatan jangka masa wanita untuk terus menyusukan, sama ada memperkenalkan cecair atau makanan lain. Ini bermakna kurang wanita menghentikan penyusuan atau menyusukan secara eksklusif (bukti kualiti sederhana) sebelum empat hingga enam minggu dan sebelum enam bulan. Kedua-dua sukarelawan terlatih, doktor dan jururawat memberi impak positif kepada penyusuan susu ibu.

Faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kejayaan untuk wanita yang menyusukan secara eksklusif adalah pertemuan bersemuka (bukan perhubungan melalui telefon), sokongan sukarela, suatu jadual tertentu bagi empat hingga lapan kenalan dan sebilangan besar wanita dalam masyarakat atau populasi yang mula menyusukan (kadar latar belakang).

Istilah 'bukti berkualiti tinggi' bermakna kami yakin bahawa kajian lanjut akan memberi penemuan yang serupa. Tiada hasil yang dinilai sebagai 'bukti berkualiti tinggi'. Istilah 'bukti berkualiti sederhana' bermakna kami mendapati variasi penemuan yang luas dengan beberapa keputusan yang bercanggah dalam kajian-kajian bagi ulasan ini. Kajian-kajian baru dengan pelbagai jenis sokongan untuk penyusuan susu ibu eksklusif mungkin mengubah pemahaman bagaimana untuk membantu wanita meneruskan penyusuan eksklusif.

Kualiti metodologi kajian-kajian adalah bercampur-campur dan komponen intervensi penjagaan standard dan intervensi sokongan tambahan banyak berbeza dan sering tidak diterangkan dengan baik. Selain itu, persekitaran bagi kajian-kajian dan wanita yang terlibat adalah pelbagai.

Apakah maksudnya?

Memberi wanita sokongan tambahan yang terancang membantu mereka untuk menyusukan bayi mereka dengan lebih lama. Sokongan penyusuan mungkin lebih membantu jika ia boleh diramalkan, dijadualkan, dan dimasukkan lawatan berterusan oleh pakar-pakar kesihatan termasuk bidan, jururawat dan doktor, atau sukarelawan terlatih. Pelbagai jenis sokongan mungkin diperlukan di lokasi geografi yang berbeza untuk memenuhi keperluan rakyat dalam lokasi tersebut. Kita perlu penambahan kajian rawak terkawal untuk mengenal pasti jenis sokongan yang paling membantu wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Hospital Sibu). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan