Anestesia bahagian atau umum bagi surgeri fraktur tulang pinggul dalam kalangan orang dewasa

Latar belakang: Sebahagian besar orang yang fraktur tulang pinggul adalah orang tua, dan mereka dirawat secara surgikal, yang memerlukan anestesia. Fraktur tulang ini biasanya terjadi akibat jatuh. Pesakit-pesakit ini kerap menghidap pelbagai masalah perubatan lain yang berkait dengan penuaan, dan membuat mereka berisiko tinggi untuk kematian selepas anestesia. Jenis anestesia yang paling kerap digunakan adalah 'anestesia umum' dan 'anestesia bahagian'. Anestesia umum melibatkan ketidaksedaran (mencetuskan tidur). Anestesia bahagian melibatkan suntikan larutan yang mengandungi anestetik setempat ke dalam saraf tunjang (sekatan neuroksial) atau di sekeliling saraf-saraf di luar saraf tunjang (sekatan saraf periferi) untuk mencegah kesakitan kaki yang patah tulang pinggul. Kami telah mengulas bukti-bukti mengenai kesan anestesia bahagian terhadap pesakit-pesakit yang menjalani surgeri untuk fraktur tulang pinggul.

Ciri-ciri kajian: Bukti-bukti adalah terkini setakat Mac 2014. Kami menyertakan sejumlah 31 kajian (dengan 3231 peserta) dalam ulasan ini. Daripada 31 kajian tersebut, 28 (2976 peserta) menyumbang data untuk pelbagai meta-analisis. Purata umur peserta adalah antara 75 dan 86 tahun. Kajian-kajian tersebut telah diterbitkan antara tahun 1977 dan 2013, dan merangkumi aneka amalan klinikal serta penambahbaikan teknik yang menjangkaui masa. Dua kajian telah ditaja oleh pengilang ubat anestetik terbabit atau agensi yang mempuyai kepentingan komersial, satu kajian menerima dana kebajikan manakala satu lagi ditaja oleh agensi kerajaan. Kami mengulang carian pada Februari 2017. Kajian-kajian yang bepotensi untuk disertakan dalam ulasan ini telah dimasukkan ke dalam senarai "Kajian yang bakal diklasifikasikan", dan dapatan akan disertakan dalam ulasan rasmi semasa sorotan ini dikemaskini.

Keputusan utama: Laporan kajian menunjukkan kebanyakan kajian mempunyai ketegasan metodologi yang kurang memuaskan dan bilangan peserta yang terlibat kerap kali tidak mencukupi untuk membolehkan kami membuat kesimpulan yang muktamad. Kami tidak mendapati sebarang perbezaan dalam mortaliti pada satu bulan (11 kajian dengan 2152 peserta) antara sekatan neuroksial dan anestesia am. Kami juga tidak mendapati perbezaan dari segi pneumonia, infark miokardium, kecederaan serebrovaskular, keadaan bingung akut, kegagalan jantung kongestif, kecederaan ginjal akut, embolisme pulmonari, bilangan peserta yang menerima transfusi sel darah merah, tempoh surgeri, dan tempoh tinggal di hospital antara kedua-dua teknik anestetik berkenaan dalam dua hingga dua belas kajian. Begitu juga, apabila ubat profilaksis yang poten (seperti heparin berat molekul rendah) digunakan untuk mencegah pembentukan darah beku pascabedah; kami tidak mendapati perbezaan risiko trombosis vena dalam. Tanpa profilaksis dengan ubat antikoagulan poten risiko trombosis vena dalam adalah lebih rendah dengan sekatan neuroksial.

Kualiti bukti: Kualiti bukti adalah sangat rendah bagi mortaliti, pneumonia, infark miokardium, kecederaan serebrovaskular, keadaan binggung akut, pengurangan kejadian trombosis vena dengan ketiadaan ubat profilaksis poten, dan kepulangan pesakit ke rumah masing-masing. Ini bermakna sebarang anggaran kesan adalah tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save