Antibiotik untuk jangkitan bakteria dalam air kencing ibu hamil apabila tiada gejala.

Apakah isunya?

Bolehkah pemberian antibiotik kepada wanita hamil yang mengalami jangkitan urinari tetapi tiada gejala dapat menambahbaik hasil bagi wanita dan bayi-bayi mereka?

Mengapakah ini penting?

Jangkitan bakteria air kencing tanpa sebarang gejala-gejala biasa yang berkait dengan jangkitan urinari (bakteriuria asimptomatik) terjadi dalam sebilangan kecil kehamilan (2% hingga 10%). Oleh kerana perubahan yang berlaku dalam badan wanita hamil, mereka lebih berkemungkinan untuk mendapat jangkitan buah pinggang (pielonefritis) jika mereka mendapat jangkitan urinari, dan jangkitan itu mungkin boleh menyumbang kepada bayi berat lahir rendah atau kelahiran pramatang (sebelum 37 minggu).

Apakah bukti yang kami temui?

Ulasan kajian-kajian rawatan antibiotik bagi wanita yang tiada gejala tetapi mengalami jangkitan bakteria dalam air kencing mendapati 14 kajian rawak terkawal melibatkan hampir 2000 wanita. Antibiotik didapati berkesan mengurangkan insidens jangkitan buah pinggang ibu (11 kajian, 1932 wanita) dan merawat jangkitan dari air kencing (empat kajian, 596 wanita). Insidens bayi dengan berat lahir rendah (enam kajian, 1437 bayi) dan kelahiran pramatang (dua kajian, 242 wanita) juga dapat dikurangkan. Tiada di antara kajian-kajian tersebut menilai dengan cukup kesan rawatan antibiotik terhadap ibu atau bayi dan kerapkali cara kajian dijalankan tidak dijelaskan dengan baik. Tiga hasil utama dinilai dengan GRADE dan bukti yang menyokong rawatan antibiotik mencegah masalah pielonefritis, kelahiran pramatang dan berat lahir bayi yang kurang dari 2500 g dianggap berkualiti rendah hingga sangat rendah.

Apakah maksudnya?

Rawatan antibiotik dapat mengurangkan risiko jangkitan buah pinggang dalam kalangan wanita hamil yang mempunyai jangkitan air kencing tetapi tidak menunjukkan gejala-gejala jangkitan. Antibiotik mungkin juga mengurangkan peluang bayi dilahirkan terlalu awal atau mempunyai berat lahir yang rendah. Walau bagaimanapun, bukti berkualiti rendah tersebut membuatnya sukar untuk mengetahui dengan pasti kesan rawatan dan lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information
Share/Save