Kelambu yang dirawat dengan racun serangga boleh mengurangkan satu perlima kematian kanak-kanak dan separuh kes malaria.

Tidur menggunakan kelambu yang dirawat dengan racun serangga adalah bertujuan untuk mencegah malaria di kawasan yang sering mengalaminya. Ia telah dipromosikan secara meluas oleh badan-badan antarabangsa dan kerajaan untuk mengurangkan kesan buruk malaria kepada kesihatan. Kajian semula ini menunjukkan bahawa penyelidikan berkualiti tinggi tentang jaring celup mengurangkan kematian kanak-kanak dan penyakit malaria dengan ketara.

Kesimpulan pengarang: 

ITN adalah amat berkesan dalam mengurangkan kadar kematian kanak-kanak dan morbiditi daripada malaria. Akses yang meluas kepada ITN kini sedang diperjuangkan oleh Roll Back Malaria, tetapi penggunaan sejagat akan memerlukan input kewangan, teknikal dan operasi yang besar.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Malaria adalah punca utama penyakit dan kematian di banyak tempat di dunia, terutama di sub-Sahara Afrika. Terdapat penekanan baru terhadap langkah-langkah pencegahan di peringkat individu dan masyarakat. Jaring yang dirawat dengan racun serangga (ITN) adalah langkah pencegahan malaria yang paling menonjol untuk dilaksanakan secara besar-besaran di kawasan yang sangat endemik.

Objektif: 

Untuk menilai kesan kelambu atau langsir yang dirawat racun serangga terhadap kadar kematian, penyakit malaria (yang mengancam nyawa dan sederhana), parasitaemia malaria, anemia, dan kadar limpa.

Strategi carian: 

Saya mencari daftar ujian Kumpulan Penyakit Berjangkit Cochrane ujian (Januari 2003), CENTRAL ( Perpustakaan Cochrane , Isu 1, 2003), MEDLINE (1966 hingga Oktober 2003), EMBASE (1974 hingga November 2002), LILACS (1982 hingga Januari 2003), dan senarai rujukan tinjauan, buku, dan kajian. Saya mencari dengan tangan jurnal, menghubungi penyelidik, agensi-agensi pembiayaan, dan pengeluar jaring serta racun serangga.

Kriteria pemilihan: 

Kajian individu dan kelompok rawak terkawal berkenaan kelambu atau langsir yang dirawat racun serangga berbanding jaring tanpa racun serangga atau tiada jaring. Kajian yang hanya melibatkan wanita hamil telah dikecualikan.

Pengumpulan data dan analisis: 

Pengulas dan dua orang penaksir bebas mengkaji kajian yang perlu dimasukkan. Pengulas menilai risiko berat sebelah di dalam kajian, dan mengekstrak dan menganalisis data.

Keputusan utama: 

Empat belas kajian kelompok rawak dan lapan kajian terkawal rawak secara individu telah memenuhi kriteria kemasukan. Lima kajian mengukur kematian kanak-kanak: ITN memberi perlindungan yang berkesan (PE) sebanyak 17% berbanding tiada jaring (kadar relatif 0.83, 95% selang keyakinan (CI) 0,76-0,90), dan 23% PE berbanding kelambu yang tidak dirawat (kadar relatif 0.77, 95 % CI 0,63-0,95). Sebanyak 5.5 nyawa (95% CI 3.39 hingga 7.67) boleh diselamatkan setiap tahun untuk setiap 1000 kanak-kanak yang dilindungi dengan ITN. Di kawasan yang mempunyai malaria stabil, ITN mengurangkan kejadian malaria yang tidak rumit di kawasan malaria stabil sebanyak 50% berbanding dengan tiada jaring, dan 39% berbanding dengan jaring yang tidak dirawat; dan di kawasan malaria yang tidak stabil: sebanyak 62% berbanding dengan tiada jaring dan 43% berbanding dengan jaring tidak dirawat untuk kejadian Plasmodium falciparum , dan sebanyak 52% berbanding dengan tiada jaring dan 11% berbanding dengan jaring dirawat untuk kejadian P. vivax Berbanding dengan tiada jaring dan di kawasan malaria stabil, ITN juga berkesan kepada malaria teruk (45% PE, 95% CI 20-63), prevalens parasit (13% PE), parasitaemia tinggi (29% PE), splenomegali (30% PE), dan penggunaan mereka meningkatkan kadar purata hemoglobin pada kanak-kanak sebanyak 1.7% isipadu sel padat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rafidah Hanim Shomiad @ Shueb (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hanimkk@usm.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College; mltan@pmc.edu.my)

Tools
Information
Share/Save