Rawatan antibiotik untuk mereka yang mengidapi bronkitis akut

Soalan ulasan

Penyelidik ingin mengetahui sama ada antibiotik dapat memperbaiki hasil penghidap bronkitis akut. Kami turut menilai potensi kesan buruk terapi antibiotik.

Latar belakang

Bronkitis akut adalah diagnosis klinikal (berdasarkan tanda-tanda dan gejala-gejala pesakit yang dilaporkan) untuk batuk akut, samada menghasilkan kahak ataupun tidak. Bronkitis akut boleh disebabkan oleh virus atau bakteria. Gejala-gejala biasanya bertahan selama dua minggu tetapi boleh juga bertahan sehingga lapan minggu. Antibiotik biasanya diberikan untuk merawat bronkitis akut, tetapi ia boleh mendatangkan kesan buruk seperti loya dan cirit-birit serta menyebabkan tindak balas yang lebih serius untuk pesakit yang alah pada antibiotik. Tidak terdapat sebarang ujian yang praktikal untuk membezakan antara bronkitis bakteria dan virus.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik menyertakan kajian rawak terkawal yang membandingkan sebarang terapi antibiotik dengan plasebo atau tanpa rawatan keatas mereka yang mengalami bronkitis akut atau batuk produktif akut dan tidak mempunyai apa-apa keadaan paru-paru kronik. Kami telah melibatkan 17 ujian dengan 5099 peserta. Rawatan bersama-sama dengan ubat-ubatan lain untuk melegakan gejala-gejala adalah dibenarkan jika mereka diberikan kepada semua peserta dalam kajian ini.

Keputusan utama

Bukti kami adalah terkini sehingga 13 Januari 2017.

Kami mendapati bukti manfaat klinikal yang terhad untuk menyokong penggunaan antibiotik untuk bronkitis akut. Sesetengah orang dirawat dengan antibiotik pulih lebih cepat dengan hasil berkaitan dengan kekurangan batuk. Walau bagaimanapun, perbezaan ini mungkin tidak penting secara praktikal kerana ia hanya menunjukkan perbezaan setengah hari sahaja dalam tempoh 8 - 10-hari. Terdapat peningkatan yang kecil tetapi penting dalam kesan-kesan sampingan yang buruk pada orang yang dirawat dengan antibiotik. Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan termasuk loya, muntah-muntah, cirit-birit, sakit kepala, dan ruam.

Ulasan ini menunjukkan bahawa hanya terdapat manfaat yang terhad kepada pesakit yang menggunakan antibiotik untuk bronkitis akut yang tidak menhidapi penyakit-penyakit lain. Lebih banyak penyelidikan diperlukan tentang kesan penggunaan antibiotik untuk bronkitis akut dalam orang uzur, warga tua dengan beberapa keadaan kronik yang mungkin tidak diambilkira dalam kajian sedia ada. Penggunaan antibiotik perlu dipertimbangkan dalam konteks kesan sampingan, perubatan untuk keadaan diri yang terhad, kos rawatan antibiotik, dan kemudaratan peringkat penduduk khususnya berkaitan dengan peningkatan rintangan antibiotik.

Kualiti bukti

Kualiti ujian ini adalah secara amnya baik, khususnya bagi kajian yang lebih terkini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information