Vitamin D dan sebatian vitamin D yang berkaitan untuk mencegah keretakan akibat osteoporosis dalam kalangan orang-orang tua

Mengapa orang-orang tua mengalami keretakan tulang?

Keretakan pinggul dan beberapa jenis keretakan lain adalah sangat lazim dalam kalangan wanita selepas menopaus dan lelaki-lelaki tua akibat kelemahan tulang-tulang yang berkait dengan umur (osteoporosis).

Apakah impak keretakan tulang dalam kalangan orang-orang tua?

Keretakan akibat osteoporosis kerap terjadi di pinggul, pergelangan tangan atau tulang belakang dan menyebabkan hilang upaya yang ketara ataupun kematian. Mereka yang dapat bertahan kerap mempunyai kurang pergerakan dan mungkin memerlukan lebih rawatan jagaan dan sosial.

Mengapa vitamin D mungkin dapat membantu?

Vitamin D diperlukan untuk pembinaan tulang yang kuat. Orang-orang tua kerap mempunyai tahap vitamin D yang rendah kerana kurang terdedah kepada cahaya matahari dan kurang pengambilan vitamin D dalam diet mereka. Oleh itu, cadangan pengambilan tambahan vitamin D dalam bentuk suplemen mungkin membantu mengurangkan risiko keretakan tulang pinggul dan tulang-tulang lain.

Tujuan ulasan

Untuk menilai kesan vitamin D atau suplemen berkait dengan vitamin D, yang diambil dengan atau tanpa suplemen kalsium, untuk mencegah keretakan dalam kalangan wanita selepas menopaus dan lelaki-lelaki tua.

Cara ulasan dijalankan

Para penulis ulasan mencari literatur perubatan sehingga Disember 2012, dan mengenalpasti 53 kajian perubatan yang relevan, melibatkan sejumlah 91,791 orang. Kajian-kajian tersebut melaporkan hasil keretakan dalam kalangan wanita selepas menopaus atau lelaki berusia lebih 65 tahun dari persekitaran masyarakat, hospital dan rumah jagaan. Kajian-kajian ini membandingkan vitamin D atau suplemen yang berkaitan samada dengan – ataupun tanpa - suplemen kalsium, berbanding suplemen palsu (plasebo), tanpa suplemen atau suplemen kalsium sahaja.

Penemuan ulasan

Ulasan menemui bukti yang boleh diyakini bahawa pengambilan vitamin D sahaja, dalam bentuk yang diuji dalam kajian, tidak berkemungkinan untuk mencegah keretakan. Walaubagaimanapun, bukti yang boleh diyakini menunjukkan bahawa vitamin D yang diambil dengan tambahan suplemen kalsium mengurangkan sedikit kebarangkalian keretakan tulang pinggul dan keretakan jenis lain. Ulasan menunjukkan tiada penambahan risiko kematian dari pengambilan vitamin D dan kalsium.

Walaupun risiko kesan mudarat (seperti simtom gastro-usus dan penyakit buah pinggang) dari pengambilan vitamin D dan kalsium adalah kecil, sesetengah orang, terutamanya yang mempunyai batu dalam buah pinggang, penyakit buah pinggang, aras kalsium dalam darah yang tinggi, penyakit gastro-usus atau mereka yang berisiko penyakit jantung patut mendapat nasihat perubatan sebelum mengambil suplemen-suplemen ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information