Adakah ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kemurungan atau depresan dapat membantu perokok untuk berhenti merokok.

Latar belakang dan persoalan

Beberapa jenis ubat dan supplemen yang digunakan untuk merawat penyakit kemurungan (antidepresan) telah diuji untuk melihat jika ianya dapat membantu mereka yang cuba berhenti merokok. Dua jenis antidepresan iaitu bupropion (Zyban) dan nortriptyline, merupakan antara ubat-ubat yang digunakan untuk membantu seseorang berhenti merokok. Kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti sama ada penggunaan ubat antidepresan ini dapat meningkatkan kejayaan perokok untuk berhenti merokok dalam masa enam bulan atau lebih dan juga untuk mengenalpasti tentang keselamatan penggunaan ubat-ubat tersebut dalam membantu proses berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Bukti yang dikemukakan adalah bukti daripada Julai 2013 hingga sekarang. Kemas kini ini memasukkan sebanyak 24 kajian baru, keseluruhan kajian yang dinilai adalah sebanyak 90 kajian kesemuanya. Kajian ini mengambil kira mereka yang masih merokok dan mereka yang baru sahaja berhenti merokok. Terdapat 65 kajian menggunakan bupropion, ubat ini dilesenkan untuk digunakan sebagai ubat untuk membantu proses berhenti merokok, dibawah nama dagangan 'Zyban'. Terdapat sepuluh kajian menggunakan nortriptyline, sejenis ubat tricyclic antidepresan yang tidak dilesenkan secara khusus untuk membantu proses berhenti merokok. Kami hanya mengambil kajian yang mengira tempoh berhenti merokokuntuk jangka masa panjang iaitu selama enam bulan atau lebih daripada tarikh kajian

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kajian menggunakan bupropion (Zyban) untuk proses berhenti merokok menunjukkan kualiti bukti yang tinggi, di mana ia meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya dalam cubaan untuk berhenti selepas sekurang-kurangnya enam bulan (44 kajian,melibatkan seramai 13,000 peserta). Kesan-kesan sampingan bupropion termasuklah insomnia, mulut kering dan rasa mual. Manakala kesan sampingan yang jarang sekali berlaku (1:1000) ialah sawan dan mungkin masalah psikiatri (masih belum jelas kesahihannya). Terdapat juga kualiti bukti yang sederhana - dipengaruhi oleh jumlah kajian dan peserta yang sedikit, menunjukkan ubat antidepresan nortriptyline meningkatkan kadar berhenti merokok (enam percubaan melibatkan seramai 975 peserta). Kesan sampingan ubat ini termasuklah mulut kering, sembelit, rasa mual dan mengantuk. Ubat ini boleh menjadi bahaya jika diambil secara berlebihan. Selective serotonin reuptake inhibitor 'SSRI' iaitu satu kumpulan antidepresan yang baru (sebagai contoh, fluoxetine), monoamine oxidase inhibitor 'MOAI' juga satu kumpulan ubat anti depresan (contohnya, selegiline), dan juga antidepresan venlaxafine, tidak menununjukkan bukti dalam membantu proses berhenti merokok. Begitu juga dengan ubatan herba St John's wort atau S-Adenosyl-L-Methionine (SAMe) iaitumakanan supplemen yang dipercayai mempunyai ciri-ciri antidepresan.

Perbincangan dan cadangan

Cara bupropion dan nortriptyline bertindak dalam membantu proses berhenti merokok masih tidak difahami sepenuhnya. Kedua-duanya dapat membantu dalam proses berhenti merokok sama ada seseorang itu mempunyai sejarah kemurungan ataupun simptom kemurungan semasa mereka berhenti merokok. Kebarangkalian untuk berhenti merokok menggunakan bupropion atau nortriptyline kelihatan sama berkesan dengan terapi penggantian nikotin (nicotine replacement therapy), namun kebarangkalian berhenti merokok menggunakan bupropion kelihatan lebih rendah jika dibandingkan dengan kebarangkalian untuk berhenti merokok menggunakan varenicline.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Farahim Daud (Penang Medical College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nfarahim@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save