Rawatan awal dengan ubat penipisan darah untuk orang yang telah mengalami strok

Soalan ulasan
Kami ingin mengeahui sama ada pesakit yang dirawat dengan antikoagulan (ubat penipisan darah) sebaik selepas mengalami strok beransur pulih atau tidak, dan sama ada mereka mengalami pendarahan.

Latar belakang
Berjuta manusia seluruh dunia mengalami strok setiap tahun. Kebanyakan strok terjadi apabila bekuan darah menyekat saluran darah ke otak. Apabila bekalan darah ke otak terhad atau disekat, sel-sel otak mula mati. Ini boleh menyebabkan kecederaan otak, yang boleh jadi kekal, menyebabkan hilang upaya dan mungkin kematian. Strok boleh menyebabkan tangan atau kaki menjadi lemah, atau kesukaran dengan pertuturan atau penglihatan. Strok kadangkala membawa maut tetapi lebih kerap menyebabkan mangsa yang terselamat tidak dapat melakukan perkara yang mereka lakukan dahulu. Kerana strok adalah perkara biasa dan menyebabkan kerosakan sedemikian, penyelidik sedang mencari cara untuk menghilangkan bekuan darah sejurus selepas strok berlaku. Satu cara ialah dengan menggunakan ubat penipisan darah yang dipanggil antikoagulan. Jika pesakit bertindak balas dengan baik terhadap antikoagulan, mereka mungkin dapat mengelakkan kesan buruk strok. Masalah utama dengan antikoagulan ialah jika ia menyebabkan pendarahan, pesakit boleh mendapat hasil yang sangat serius daripada ini.

Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Ciri-ciri kajian
Untuk mendapat jawapan yang terbaik, kami mencari kajian di mana penyiasat membandingkan sebarang antikoagulan dengan ubat lain, dengan ubat tiruan yang tidak mengandungi bahan aktif (plasebo), atau dengan penjagaan biasa. Untuk menjadikan perbandingan itu adil, semua pesakit dalam kajian ini mesti mempunyai peluang rawak yang sama (seperti melambung syiling) untuk menerima antikoagulan, rawatan lain, atau penjagaan biasa. Kami memasukkan dalam ulasan terkini ini 28 kajian yang melibatkan 24,025 orang yang menghidap strok. Dua kajian mendaftarkan peserta dalam masa 12 jam selepas serangan strok, empat dalam masa 24 jam, dan 10 dalam masa 48 jam.

Keputusan utama
Orang yang dirawat dengan antikoagulan tidak kurang mengalami hilang upaya jangka panjang, dan mereka mengalami lebih banyak pendarahan. Pesakit yang dirawat dengan antikoagulan mempunyai peluang yang lebih rendah untuk darah beku terbentuk di dalam kaki dan paru-paru mereka berikutan kejadian strok, tetapi manfaat ini tidak memadai kerana peningkatan bilangan pendarahan.

Kepastian terhadap bukti
Kami menggunakan kaedah standard untuk menilai kepastian bukti. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, bilangan peserta yang disertakan dalam kajian, dan ketekalan penemuan merentas kajian. Bukti berkepastian sangat rendah bermakna kami tidak pasti tentang keputusannya. Dengan cara yang sama, bukti berkepastian tinggi bermakna kami sangat pasti tentang keputusan ulasan ini.

Kesimpulan
Ulasan ini tidak memberi sebarang bukti untuk mencadangkan bahawa penggunaan awal antikoagulan adalah bermanfaat secara keseluruhan untuk penghidap strok yang disebabkan oleh bekuan darah. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk mengetahui sama ada terdapat cara untuk memilih penghidap strok yang akan mendapat manfaat paling banyak daripada antikoagulan tanpa mengalami komplikasi pendarahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information