Akupunktur untuk asma kronik

Akupunktur adalah rawatan yang berasal dari perubatan tradisional Cina. Ia berupa rangsangan titik-titik tertentu pada kulit (kebanyakannya melalui tusukan jarum). Ulasan sistematik ini bertujuan menilai jika terdapat bukti ujikaji klinikal rawak terkawal bahawa akupunktur memberi manfaat kepada pesakit asma. Kajian yang dipilih untuk ulasan sistematik ini terdiri daripada pelbagai kualiti dan hasil yang tidak konsisten. Kajian masa depan patut membuktikan jika ada komponen tak spesifik daripada akupunktur yang boleh memberi manfaat kepada penerima rawatan. Perlu ada penilaian rawatan selain rawatan placebo dan juga “tiada rawatan”. Berdasarkan bukti terkini, belum ada cukup bukti untuk mengesyorkan keberkesanan rawatan akupunktur sebagai rawatan untuk asma.

Kesimpulan pengarang: 

Tiada bukti yang kukuh untuk mengesyorkan akupunktur dalam rawatan asma. Kajian lanjutan adalah perlu untuk mengambilkira kompleksiti dan jenis-jenis akupunktur yang berbeza.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Akupunktur telah digunakan secara tradisional untuk merawat asma di Cina dan semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Objektif: 

Objektif kajian ini adalah untuk menilai kesan akupunktur untuk rawatan asma atau gejala seperti asma.

Strategi carian: 

Kami telah melakukan pencarian kajian dalam Daftar Khusus Kumpulan Cochrane Airways (carian terakhir Ogos 2008), Daftar Kajian Klinikal Perubatan Komplementari Cochrane, AMED, dan senarai artikel-artikel rujukan. Kami juga telah menghubungi penyelidik kajian dalam bidang perubatan komplementari dan alternatif.

Kriteria pemilihan: 

Kajian klinikal rawak yang menggunakan jarum akupunktur atau lain-lain bentuk rangsangan akupunktur. Sebarang bentuk rawatan terkawal diterima pakai (tiada rawatan, rawatan asma konvensional, intervensi sham atau plasebo, intervensi perbandingan aktif). Kajian-kajian dipilih dengan syarat hasil kajian dinilai selepas 1 minggu atau lebih.

Pengumpulan data dan analisis: 

Sekurang-kurangnya dua orang penilai menilai kualiti kajian secara berasingan. Penilai yang lebih berpengalaman dalam akupunktur menilai kecukupan akupunktur aktif dan sham yang digunakan dalam kajian-kajian. Pengarang kajian dihubungi untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Keputusan utama: 

Dua belas kajian telah memenuhi kriteria kemasukan melibatkan 350 peserta. Laporan-laporan kajian adalah lemah dan kualiti kajian dianggap tidak mencukupi untuk membuat rumusan. Terdapat perbezaan dalam jenis akupunktur aktif dan sham, hasil yang diukur dan titik masa yang diguna. Titik-titik yang diguna di lengan sham sesetengah kajian diguna untuk rawatan asma mengikut perubatan tradisional Cina. Dua kajian telah menggunakan strategi rawatan tersendiri dan satu kajian telah menggunakan strategi kombinasi akupunktur formula dengan penambahan titik-titik tersendiri. Tidak terdapat sebarang kesan relavan di antara akupunktur berbanding dengan akupunktur sham. Data dari dua kajian kecil telah dikumpulkan untuk fungsi paru-paru (FEV1 selepas rawatan): Perbezaan Rerata Standar (Standardized Mean Difference) 0.12, interval keyakinan 95% pada -0.31 – 0.55).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh: Noorliza Mastura Ismail
(Melaka-Manipal Medical College)
Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save