Koleksi Khas: Koronavirus (COVID-19): mengoptimumkan kesihatan ruang kerja di rumah

Koronavirus (COVID-19): mengoptimumkan kesihatan ruang kerja di rumah

Koleksi khas ini ialah salah satu koleksi siri tentang COVID-19, dan ia akan dikemas kini jika ulasan-ulasan tambahan diterbitkan. Ia juga boleh didapati dalam Perancis, Jepun, Bahasa Melayu, Portugis, dan Sepanyol .

Untuk mengurangkan penyebaran COVID-19. para pekerja di kebanyakan negara telah mengubah tabiat pekerjaan biasa dan berkerja dari rumah jika keadaan membolehkan. Bekerja di rumah sering melibatkan situasi duduk dan bekerja di komputer berpanjangan.

Koleksi Khas ini telah dibangunkan dengan kerjasama Cochrane Work dan mengumpul Ulasan Cochrane yang meringkaskan bukti mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan apabila bekerja dari rumah akibat pandemik COVID-19. Ia merangkumi ulasan sistematik yang menilai kesan-kesan intervensi berkaitan dengan mengekalkan aktiviti fizikal, mengoptimumkan persekitaran kerja, dan mencegah masalah-masalah muskuloskeletal dan mata.

Harap maklum ulasan-ulasan Cochrane yang dimasukkan dalam Koleksi Khas ini merumuskan bukti, dan kemasukannya tidak bermakna intervensi yang diulas terbukti berkesan.

Dikemas kini pada 20 Mei 2020: terjemahan tambahan dalam bahasa Perancis, Jepun, Bahasa Melayu, Portugis dan Sepanyol.

 

Jadual kerja - rehat untuk mencegah gejala dan masalah muskuloskeletal dalam kalangan pekerja yang sihat

Dalam keadaan di mana gejala atau masalah muskuloskeletal berkaitan dengan pekerjaan adalah prevalen, rehat sebentar mungkin lebih baik. Umum menganggap rehat sebentar boleh memberi tempoh pemulihan untuk struktur muskuloskeletal yang tertekan semasa proses bekerja. Ulasan ini menilai keberkesanan pelbagai intervensi kerja - rehat untuk mencegah gejala dan masalah muskuloskeletal berkaitan perkerjaan dalam kalangan pekerja-pekerja yang sihat, apabila dibandingkan dengan jadual kerja - rehat konvensional atau berselang.

Intervensi ruang kerja untuk meningkatkan tempoh berdiri dan berjalan bagi mengurangkan gejala-gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari

Prevalen gejala-gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari adalah tinggi. Intervensi yang mempromosi kerja berdiri atau berjalan didapati mengurangkan tempoh kerja sedentari, tetapi adalah tidak jelas sama ada intervensi ini dapat mengurangkan gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari. Ulasan ini menyelidik keberkesanan intervensi tempat kerja untuk meningkatkan berdiri atau berjalan bagi mengurangkan gejala-gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari.

Intervensi tempat kerja untuk mengurangkan duduk semasa bekerja

Kebanyakan orang berkerja dalam pekerjaan sedentari. Kekurangan aktiviti fizikal dan amalan duduk berpanjangan di tempat kerja telah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, obesiti, dan mortaliti semua sebab. Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi tempat kerja untuk mengurangkan tempoh duduk semasa bekerja berbanding tiada intervensi atau intervensi alternatif.

Pencahayaan tempat kerja untuk memperbaiki kewaspadaan dan mood dalam kalangan pekerja siang hari

Pendedahan kepada cahaya memainkan peranan penting dalam proses biologi dan mempengaruhi mood dan kewaspadaan. Para pekerja mungkin terdedah kepada cahaya yang tidak cukup atau tidak sesuai pada waktu siang, menyebabkan gangguan mood dan penurunan tahap kewaspadaan. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan intervensi pencahayaan untuk meningkatkan kewaspadaan dan mood pekerja siang hari.

Pembetulan optikal ralat refraktif untuk mencegah dan merawat gejala-gejala mata dalam kalangan pengguna komputer

Para pengguna komputer mungkin mengalami masalah penglihatan dan fungsi mata lain, termasuk ketegangan mata, sakit mata, sakit kepala, penglihatan berganda dan kabur, rasa terbakar, kerengsaan, kekeringan mata, dan masalah air mata. Ulasan ini menilai bukti keberkesanan, keselamatan, dan kebolehlaksanaan pembetulan optikal ralat refraktif untuk mengurangkan dan mencegah gejala-gejala mata dalam kalangan pengguna komputer.

Intervensi ergonomik untuk mencegah masalah musculoskeletal bahagian atas badan dan leher berkaitan pekerjaan dalam kalangan pekerja pejabat

Masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan boleh melibatkan leher dan bahagian atas badan (bahu, lengan atas, siku, lengan bawah, pergelangan tangan, dan tangan). Ulasan ini menilai kesan-kesan fizikal, kognitif dan intervensi ergonomik organisasi, atau gabungan intervensi-intervensi tersebut, untuk mencegah masalah bahagian atas badan dan leher berkaitan pekerjaan dalam kalangan pekerja pejabat.

 

Penghargaan

Koleksi Khas ini dibangunkan oleh Julitta Boschman (Managing Editor, Amsterdam Satellite of Cochrane Work), bekerjasama dengan Jos Verbeek (Co-ordinating Editor, Cochrane Work), Jan Hoving (Deputy Co-ordinating editor and Director, Amsterdam Satellite of Cochrane Work) dan Monaz Mehta (Editor, Cochrane Editorial & Methods Department).

Terjemahan

Koleksi Khas ini telah diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Kampus Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) pada20 March 2020. Koleksi Khas Bahasa Inggeris boleh didapati di Perpustakaan Cochrane: Koronavirus (COVID-19): Mengoptimumkan kesihatan di ruang kerja di rumah.

Kredit imej

Imej Oleh Tang Ming Tung / Getty Images

Hubungi

Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane (emd@cochrane.org)

Share/Save