Podcast : Antisepsis kulit untuk mengurangkan jangkitan berkaitan kateter vena pusat

Kateter vena pusat merupakan satu alat yang dapat akses terus ke aliran darah pesakit. Ia adalah salah satu alat yang paling banyak digunakan dalam bidang perubatan. Walau bagaimanapun, alat ini boleh menyebabkan jangkitan dan penggunaan antisepsis pada kulit ialah salah satu cara untuk mengurangkan risiko ini. Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Nai Ming Lai dari Fakulti  Perubatan, Universiti Taylor Malaysia telah menjalankan ulasan sistematik Cochrane berkaitan dan ulasan ini telah diterbitkan pada bulan Julai 2016.

- Baca transkrip

Kateter vena pusat merupakan satu alat yang dapat akses terus ke aliran darah pesakit. Ia adalah salah satu alat yang paling banyak digunakan dalam bidang perubatan. Walau bagaimanapun, alat ini boleh menyebabkan jangkitan dan penggunaan antisepsis pada kulit ialah salah satu cara untuk mengurangkan risiko ini. Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Nai Ming Lai dari Fakulti Perubatan, Universiti Taylor Malaysia telah menjalankan ulasan sistematik Cochrane berkaitan dan ulasan ini telah diterbitkan pada bulan Julai 2016.

Kateter vena pusat adalah alat penting untuk memberikan cecair, produk darah, ubat-ubatan dan pemakanan parenteral (dimasukkan bukan daripada mulut) terus ke dalam darah seseorang. Walau bagaimanapun, ia merupakan satu laluan untuk mikroorganisma merebak ke dalam badan dan ini boleh meningkatkan peluang kematian, morbiditi dan kos penjagaan kesihatan. Untuk mengurangkan jangkitan berkaitan dengan kateter vena pusat, kakitangan kesihatan sering menggunakan antisepsis untuk membersihkan kulit di sekitar tapak kateter sebelum memasukkan kateter dan semasa kateter terletak pada tempatnya. Ulasan ini telah menilai kesan pengunaan antisepsis kulit sebagai sebahagian daripada penjagaan kateter vena pusat untuk mengurangkan jangkitan darah berkaitan dengan kateter berbanding tiada pembersihan kulit.
Penyelidik telah telah memasukkan 13 buah kajian dari 8 buah negara di Amerika, Eropah dan Asia yang berjumlah hampir 3500 pengunaan kateter vena pusat. Kebanyakan subjek adalah orang dewasa di unit rawatan rapi atau lain-lain unit pakar di hospital. Kebanyakan kajian menilai kesan antisepsis kulit sebelum kemasukan kateter vena pusat dan ketika kateter yang terletak pada tempatnya, tetapi terdapat perbezaan dari segi kualiti kajian.
Kajian-kajian tersebut telah membuat beberapa perbandingan lain. Yang pertama adalah perbandingan di antara penggunaan antisepsis kulit dengan tiada antisepsis kulit. Terdapat tiga kajian yang mendapati tiada perbezaan dalam jangkitan darah yang berkaitan dengan kateter, kolonisasi kateter dan keperluan untuk memberi antibiotik kepada pesakit.
Perbandingan seterusnya adalah kesan penggunaan antisepsis kulit berbeza. Perbandingan yang paling biasa adalah larutan chlorhexidine berbanding dengan larutan povidone-iodin sebagai bahan aktif. Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa larutan chlorhexidine boleh mengurangkan jangkitan darah yang berkaitan dengan kateter serta kolonisasi kateter secara sederhana berbanding dengan larutan povidone-iodin. Walau bagaimanapun, kesan sama ada pembersihan kulit antisepsis dapat mempengaruhi kadar kematian adalah tidak jelas kerana hanya terdapat satu kajian sahaja yang melaporkan ini dan kadar kematian yang sama dilaporkan dengan penggunaan povidone iodin dan chlorhexidine. Walaupun hanya terdapat bilangan kecil, perbezaan ini tidak boleh ditolak.
Secara keseluruhan, kualiti bukti kajian adalah rendah kerana terdapat kelemahan reka bentuk kajian, saiz kajian yang kecil, dan keputusan kajian yang tidak konsisten. Ulasan sistematik Cochrane ini mendapati tidak jelas sama ada penggunaan antisepsis kulit dapat mengurangkan jangkitan darah berkaitan dengan kateter vena pusat berbanding dengan tiada penggunaan antisepsis kulit. Antisepsis kulit yang menggunakan larutan chlorhexidine boleh mengurangkan kadar jangkitan aliran darah yang berkaitan dengan kateter vena pusat dan kolonisasi berbanding dengan penggunaan iodin povidone. Walau bagaimanapun, kualiti bukti yang didapati adalah sangat rendah. Ini bermaksud kesan sebenar mungkin sangat berbeza; dan keputusan mungkin dipengaruhi oleh sifat asas larutan antisepsis, iaitu, sama ada penggunaan larutan berasaskan air atau berasaskan alkohol.
Kajian lanjut diperlukan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan pengunaan antisepsis kulit yang berbeza dan perlu mengukur hasil klinikal yang kritikal seperti sepsis, jangkitan darah yang berkaitan dengan kateter dan kematian.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keputusan kajian tersebut atau maklumat terkini berkaitan dengan ulasan ini, anda boleh dapatkan secara atas talian di Cochrane library dot com dengan memasukkan kata kunci “antisepsis kulit” dalam carian anda.
Fail media digital ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Chin Yuh Haur dan disunting oleh Anza Elias daripada International Medical University.

Tutup transkrip