Podcast : Keberkesaan aliskiren menurunkan tekanan darah

Tekanan darah tinggi adalah satu keadaan kronik yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian. Selama dua dekad yang lalu, Kumpulan hipertensi Cochrane telah menghasilkan banyak ulasan berkenaan cara untuk merawatnya, termasuklah salah satu kesan kelas ubat yang dikenali sebagai perencat renin. Ulasan itu telah dikemas kini pada April 2017 dan penyelidik meminta pengarang utama, Vijaya Musini dari University of British Columbia di Vancouver Canada, untuk memberitahu kami berkenaan penemuan terkini.

- Baca transkrip

Selamat sejahtera, saya Wong Chun Hoong dari International Medical University, menerjemahkan dan merakamkan fail media digital ini. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia)

Tekanan darah tinggi adalah satu keadaan kronik yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian. Selama dua dekad yang lalu, Kumpulan hipertensi Cochrane telah menghasilkan banyak ulasan berkenaan cara untuk merawatnya, termasuklah salah satu kesan kelas ubat yang dikenali sebagai perencat renin. Ulasan itu telah dikemas kini pada April 2017 dan penyelidik meminta pengarang utama, Vijaya Musini dari University of British Columbia di Vancouver Canada, untuk memberitahu kami berkenaan penemuan terkini.

Bagi pesakit yang mempunyai tahap tekanan darah tinggi yang sederhana hingga teruk, tekanan darah perlu diuruskan terlebih dahulu dengan gaya hidup dan pengubahsuaian gaya hidup, tetapi jika langkah-langkah ini tidak mencukupi, kita perlu teruskan untuk mencuba ubat antihipertensi. Terdapat beberapa kelas ubat yang ada, yang bertindak melalui mekanisme yang berbeza untuk menurunkan tekanan darah.
Perencat renin adalah kelas yang agak baru yang telah dicipta sejak tahun 1990-an.
Pada masa ini, hanya satu perencat renin sahaja yang telah dikaji dan diluluskan untuk rawatan darah tinggi, iaitu aliskiren. Penyelidik melakukan ulasan ini untuk mengukur keberkesanan penurunan tekanan darah dan melihat kepada kesan buruknya.
Penyelidik telah menambah hasil daripada lima kajian baru dalam kemas kini ini dan kini termasuk 12 kajian rawak yang dikawal secara plasebo yang merekrut hampir tujuh ribu setengah orang dewasa. Kebanyakan pesakitnya adalah Kaukasia dan kajiannya menilai aliskiren pada dos antara 75 hingga 600 mg sehari, untuk purata jangka masa 8 minggu. Semua kajian telah dibiayai oleh pengilang ubat, Novartis, dan penyelidik menjangkakan mereka semua mempunyai kemungkinan berat sebelah yang tinggi yang berkaitan dengan pergeseran, laporan dan pembiayaan.
Selain menambah data dari kajian yang baru diterbitkan, penyelidik juga telah memasukkan ke dalam kemas kini ini sembilan laporan kajian klinikal yang diperolehi dari Agensi Ubat Eropah. Penyelidik juga memasukkan data dari kajian yang tidak diterbitkan yang terdapat dalam ringkasan kajian klinikal yang diperoleh daripada Pangkalan Data Hasil kajian Novartis Klinikal. Laporan kajian klinikal membolehkan penyelidik memeriksa kaedah dan berat sebelah yang berpotensi dalam kajian yang lebih terperinci, serta memberi penyelidik lebih banyak data mengenai bahaya ubat.
Berkenaan keputusan, terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa aliskiren mempunyai kesan menurunkan tekanan darah yang berkaitan dengan dos. Dos harian dos 75 mg menurunkan tekanan darah sistolik sebanyak 3 mmHg dan tekanan darah diastolik sebanyak 2 mmHg. Dos 150 mg menurunkan ini dengan 6 dan 3 mmHg, dos 300 mg dengan 8 dan 5 mmHg, dan jatuh 11 dan 6 mmHg didapati dengan 600 mg. Untuk kesan buruk pula, penyelidik mendapati bahawa pesakit yang diberi aliskiren tidak lebih cenderung untuk berhenti menggunakan tablet mereka daripada yang diberi plasebo, namun terdapat bukti yang berkualiti rendah bahawa cirit-birit meningkat dengan bergantung kepada dos, dengan kenaikan 7 kali ganda dengan aliskiren 600 mg.
Kesimpulannya, aliskiren adalah satu-satunya ubat kelas perencat renin yang telah dikaji dan diluluskan untuk rawatan tekanan darah pada masa ini. Kajian sistematik penyelidik telah menunjukkan bahawa ia adalah lebih baik daripada plasebo untuk menurunkan tekanan darah, dan kesannya sama dengan yang dilihat pada kelas ubat lain apabila dos maksimum yang disyorkan digunakan. Dalam aspek lain, seperti kesan sampingan, aliskiren tidaklah lebih baik daripada ubat-ubat lain yang ada sekarang; tetapi cirit-birit telah meningkat dengan ketara dengan aliskiren 600 mg.

Sekiranya anda ingin membaca lebih lanjut tentang manfaat dan kemudaratan aliskiren ini, cuma layari dalam talian ke perpustakaan Cochrane dot com dan cari 'perencat renin dan hipertensi'

Tutup transkrip