Podcast : Sokongan ketika hamil untuk wanita yang lebih berisiko melahirkan bayi berat lahir rendah

Kumpulan Kehamilan dan Kelahiran Cochrane telah menghasilkan lebih 600 ulasan dan antara yang pertamanya adalah pada 1995 yang melihat kesan menyediakan sokongan ketika hamil bagi wanita yang lebih berisiko melahirkan bayi berat lahir rendah. Ulasan tersebut dikemaskini pada April 2019 dan kami bertanya ahli panel penyelidikan baharu, Christine East dari Universiti Monash dan Universiti La Trobe di Melbourne, Australia tentang kepentingan ulasan dan penemuan terbarunya.

- Baca transkrip

Salam Sejahtera saya Nadiah Abdul Rahim dari RCSI & UCD Malaysia Campus

Kumpulan Kehamilan dan Kelahiran Cochrane telah menghasilkan lebih 600 ulasan dan antara yang pertamanya adalah pada 1995 yang melihat kesan menyediakan sokongan ketika hamil bagi wanita yang lebih berisiko melahirkan bayi berat lahir rendah. Ulasan tersebut dikemaskini pada April 2019 dan kami bertanya ahli panel penyelidikan baharu, Christine East dari Universiti Monash dan Universiti La Trobe di Melbourne, Australia tentang kepentingan ulasan dan penemuan terbarunya. 
Sesetengah bayi baru lahir adalah lebih kecil daripada jangkaan dan ini terjadi oleh beberapa sebab. Kadangkala ia lahir lebih awal. Yang lain mungkin lahir cukup masa tetapi mungkin tidak membesar secukupnya dalam kandungan. Apa jua sebabnya, bayi berat lahir rendah menghadapi lebih cabaran berbanding bayi yang lahir dengan berat normal. 
Salah satu cadangan bagaimana mencegah kelahiran bayi kecil adalah dengan memberi sokongan sosial kepada wanita semasa hamil. Ini boleh jadi dalam bentuk sokongan emosi, membantu wanita mendapatkan temujanji, atau memberi kefahaman bila untuk memberitahu bidan atau doktor jika mereka ada sebarang kebimbangan. 
Ulasan mereka meneliti bukti-bukti tersebut dan strategi-strategi lain. Mereka melihat kajian rawak yang mengkaji kesan program yang menawarkan sokongan sosial tambahan kepada wanita yang berisiko melahirkan bayi berat lahir rendah. Sesetengah kajian melibatkan sokongan profesional penjagaan kesihatan, manakala yang lainnya melibatkan sokongan orang awam. Hasil utama adalah bayi lahir pramasa, iaitu tiga minggu atau lebih awal daripada 40 minggu atau berat lahir kurang daripada 2500g. 
Mereka menyertakan 25 laporan daripada 21 kajian berlainan, dengan data lebih 11000 para ibu dan bayi mereka. Mereka mendapati program yang menawarkan sokongan sosial tambahan untuk wanita berisiko tinggi mungkin mampu mengurangkan sedikit bilangan bayi dengan berat lahir kurang 2500gram.
Terdapat juga bukti sokongan sosial mungkin mengurangkan bilangan bayi lahir pramasa, walaupun kesan potensinya tidak besar. Mereka juga mendapati sokongan sosial tambahan mungkin mengurangkan bilangan kelahiran melalui pembedahan dan kemasukan ke hospital ketika hamil. Dan keputusan adalah kosisten sama ada sokongan datang daripada professional penjagaan kesihatan atau orang awam yang terlatih. 
Secara ringkas, wanita hamil memerlukan sokongan ahli keluarga yang prihatin, rakan-rakan dan juga profesional kesihatan. Program-program yang menawarkan sokongan sosial tambahan ketika hamil mungkin tidak memberi impak besar terhadap kelahiran bayi kecil atau pramasa. Walau bagaimanapun, perkhidmatan sokongan mungkin membantu mengurangkan kebarangkalian bersalin secara pembedahan dan keperluan untuk wanita tinggal di hospital pada sesuatu masa sepanjang kehamilan. 
Jika anda ingin mempelajari lebih tentang strategi-strategi sokongan tersebut dan manfaatnya, anda boleh mencari ulasan penuh di Cochrane Library dot com, dengan carian mudah iaitu ‘sokongan kehamilan dan bayi kecil’. Di situ juga anda boleh mencari maklumat tentang kemas kini ulasan ini kerana ia telah melepasi tahun ke-25 pengulasannya. 

Fail Media Digital ini diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim dari RCSI & UCD Malaysia Campus.  Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail dari Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tutup transkrip