Penyekat beta untuk mengelakkan kematian atau peristiwa serius selepas pembedahan yang tidak melibatkan jantung

Ulasan ini menilai bukti dari kajian rawak terkawal (RCT) sama ada penyekat beta mengurangkan kematian atau peristiwa serius lain apabila diberi kepada orang yang menjalani pembedahan selain pembedahan jantung. Penemuan untuk pembedahan jantung diliputi dalam ulasan lain.

Latar belakang

Pembedahan meningkatkan stres dalam badan, yang merespon dengan melepaskan hormon adrenalin dan noradrenalin. Stres dari pembedahan boleh mengakibatkan kematian atau peristiwa serius lain seperti serangan jantung, strok, atau denyutan jantung yang tidak regular. Untuk pembedahan yang tidak melibatkan jantung, kira-kira 8% orang mungkin mengalami kecederaan jantung sekitar masa pembedahan. Penyekat beta adalah ubat yang menyekat tindakan adrenalin dan noradrenalin pada jantung. Penyekat beta boleh melambatkan jantung dan mengurangkan tekanan darah, dan ia mungkin mengurangkan risiko peristiwa serius. Walau bagaimanapun, penyekat beta boleh menyebabkan kadar jantung dan tekanan darah yang sangat rendah dan meningkatkan risiko kematian atau strok. Pencegahan komplikasi awal selepas pembedahan adalah penting, tetapi menggunakan penyekat beta untuk mencegah komplikasi ini adalah kontroversial.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 28 Jun 2019. Kami memasukkan 83 RCT dengan 14,967 orang dewasa yang menjalani pelbagai jenis pembedahan selain pembedahan jantung. Lapan belas kajian sedang menunggu klasifikasi (kerana kami tidak mempunyai cukup maklumat untuk menilainya), dan tiga kajian sedang berlangsung. Jenis-jenis penyekat beta yang diguna di dalam kajian-kajian adalah: propranolol, metoprolol, esmolol, landiolol, nadolol, atenolol, labetalol, oxprenolol, dan pindolol. Kajian-kajian membandingkan penyekat beta tersebut sama ada dengan plasebo (disamarkan seperti penyekat beta tetapi tidak mengandungi ubat) atau penjagaan standard.

Keputusan-keputusan utama

Penyekat beta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati dalam tempoh 30 hari pembedahan (16 kajian, 11,446 peserta; bukti kepastian rendah), mendapat strok (6 kajian, 9460 peserta; bukti kepastian rendah) atau mengalami aritmia ventrikular (ritma denyutan jantung tidak teratur, bermula di kebuk utama jantung, yang berpotensi mengancam nyawa dan mungkin memerlukan rawatan perubatan segera; 5 kajian, 476 peserta, bukti kepastian sangat rendah). Kami mendapati penyekat beta boleh mengurangkan pemfibrilan atrium (denyutan jantung yang tidak teratur, bermula di kebuk atrium jantung, yang meningkatkan risiko strok jika tidak dirawat; 9 kajian, 9080 peserta, bukti kepastian rendah), dan bilangan orang yang mempunyai serangan jantung (12 kajian, 10,520 peserta; bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, mengambil penyekat beta boleh meningkatkan bilangan orang yang mengalami kadar denyutan jantung yang sangat rendah (49 kajian, 12,239 peserta; bukti kepastian rendah), atau tekanan darah yang sangat rendah (49 kajian, 12,304 peserta; bukti kepastian sederhana) di sekitar masa pembedahan.

Di dalam beberapa kajian, kami juga mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mati selepas 30 hari, yang mati akibat masalah jantung, atau mengalami kegagalan jantung. Kami tidak menemui bukti sama ada penyekat beta mengubah tempoh tinggal di hospital.

Tiada kajian menilai sama ada orang yang diberi penyekat beta mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selepas pembedahan jantung.

Kepastian bukti

Kepastian bukti di dalam ulasan ini adalah terhad dengan memasukkan beberapa kajian yang berisiko bias tinggi, dan kami mendapati beberapa penemuan kami berbeza jika kami hanya menyertakan kajian atau kajian terkawal placebo yang melaporkan cara para peserta dirawak. Kami juga mendapati satu kajian besar, yang dijalankan dengan baik yang mempunyai penemuan yang berbeza berbanding kajian yang lebih kecil. Ia menunjukkan pengurangan serangan jantung dan peningkatan strok dan mortaliti semua punca apabila penyekat beta digunakan, sementara kajian lain tidak menunjukkan kesan yang jelas. Kami juga kurang pasti tentang penemuan hasil beberapa kajian, misalnya untuk aritmia ventrikular.

Kesimpulan

Walaupun penyekat beta mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mati dalam tempoh 30 hari, mengalami strok, atau mempunyai aritmia ventrikular, ia boleh mengurangkan pemfibrilan atrium dan serangan jantung. Mengambil penyekat beta dapat meningkatkan bilangan orang dengan kadar denyutan jantung atau tekanan darah yang sangat rendah di sekitar masa pembedahan. Bukti lanjut dari kajian terkawal plasebo yang besar mungkin meningkatkan kepastian penemuan-penemuan ini, dan kami mengesyorkan penilaian impak terhadap kualiti hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information