Analog insulin yang bertindak singkat berbanding insulin biasa manusia bagi kencing manis jenis 2

Soalan ulasan

Adakah analog insulin yang bertindak singkat lebih baik dari insulin biasa manusia bagi pesakit dewasa kencing manis jenis 2 yang tidak mengandung?

Latar belakang

Analog insulin yang bertindakan singkat bertindak lebih cepat dari insulin biasa manusia. Ianya boleh disuntik serta merta sebelum makan dan membawa kepada penurunan tahap gula dalam darah selepas pengambilan makanan. Samada pesakit kencing manis benar-benar mendapat manfaat dari insulin jenis baru ini masih diperbahaskan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 10 kajian rawak yang terkawal (kajian klinikal di mana pesakit dibahagikan secara rawak kepada satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan analog insulin bertindak singkat insulin lispro, insulin aspart, atau insulin glulisine kepada insulin biasa manusia dalam 2751 peserta. Pesakit yang dimasukkan ke dalam kajian dipantau (disusuli) untuk 24 hingga 104 minggu.

Bukti ini adalah terkini sehingga 31 Oktober 2018.

Keputusan utama

Kami tidak pasti samada analog insulin bertindak singkat adalah lebih baik dari insulin biasa manusia untuk kawalan glukosa darah bagi jangka masa panjang atau bagi mengurangkan bilangan kejadian kejatuhan paras gula di bawah normal dalam darah (episod hypoglisemia). Kajian-kajian adalah terlalu singkat untuk mengkaji dengan penuh keyakinan kematian dari mana-mana sebab. Kami tidak menemui kesan jelas analog insulin ke atas kualiti kehidupan yang berkaitan kesihatan. Kami tidak menemui maklumat komplikasi kencing manis yang lewat, seperti masalah dengan mata, buah pinggang, atau kaki. Tidak ada kajian yang melaporkan kesan sosioekonomi, seperti kos intervensi dan tidak hadir bekerja.

Kepastian bukti

Kepastian keseluruhan kajian yang dimasukkan adalah rendah atau sangat rendah bagi kebanyakan hasil, terutamanya kerana kesemua kajian telah dijalankan secara pelabelan terbuka (peserta kajian dan kakitangan kajian mengetahui jenis rawatan yang diperolehi seseorang). Beberapa kajian juga menunjukkan ketidak samaan dalam pelaporan kaedah, dan keputusan-keputusan adalah tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S.Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save