Pengurusan pembedahan prolaps organ pelvik dalam kalangan wanita

Soalan ulasan

Intervensi pembedahan prolaps dinding posterior vagina yang manakah memberi hasil terbaik, dan apakah komplikasi bagi setiap intervensi?

Latar belakang

Prolaps dinding posterior vagina adalah kekenduran rektum atau usus kecil, menyebabkan dinding belakang vagina terbonjol ke dalam vagina. Keadaan ini boleh dirawat secara konservatif dengan senaman otot pelvik atau pesari vagina, atau ia boleh diuruskan secara pembedahan. Beberapa pembedahan yang berbeza sedang dilakukan untuk menguruskan prolaps dinding belakang vagina. Ulasan ini bertujuan untuk membandingkan pembedahan yang berlainan ini dari segi keberkesanan dan keselamatannya. Pembedahan untuk prolaps dinding podsterior vagina boleh dilakukan melalui laluan belakang atau melalui vagina. Teknik vagina yang berbeza bertujuan merestorasi lapisan fasia yang kuat pada garis tengah di sepanjang keseluruhan dinding posterior vagina (plikasi fasia garis tengah), atau untuk mengenal pasti dan memperbaiki kecacatan tertentu dalam lapisan fasia yang kuat ini (pembaikan tapak-khusus). Mereka yang melakukan pembaikan boleh menggunakan tisu asli wanita sendiri atau boleh menambah graf. Graf tersebut boleh diserap, biologi, atau sintetik.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mengenal pasti 10 kajian rawak terkawal melibatkan 1099 wanita dengan prolaps dinding posterior vagina. Empat kajian membandingkan pembaikan transanal dengan pembaikan transvagina. Satu kajian membandingkan pembaikan tapak khusus dengan plikasi fasia garis tengah - dua teknik berbeza untuk pembaikan tisu asli transvagina. Satu kajian membandingkan graf yang terserap dan pembaikan tisu asli vagina. Empat kajian membandingkan graf biologi dengan tisu asli, dan satu kajian membandingkan graf sintetik dengan tisu asli. Bukti adalah terkini sehingga April 2017.


Keputusan utama

Pembaikan melalui vagina mungkin lebih berkesan daripada pembaikan melalui laluan belakang untuk prolaps dinding posterior vagina. Walau bagaimanapun, data tentangi kesan buruk adalah sedikit. Tiada cukup bukti untuk membolehkan kesimpulan mengenai keberkesanan relatif atau keselamatan pembedahan jenis lain. Bukti tidak menyokong penggunaan jejaring atau graf biologi pada masa pembaikan posterior vagina. Penarikan beberapa perkakas jejaring transvagina komersial dari pasaran boleh mengehadkan kebolehdapatan penemuan kami.


Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah sehingga sederhana. Keterbatasan utama dalam kualiti bukti adalah risiko bias (terutamanya berkaitan dengan prestasi, pengesanan, dan bias atrisi) dan ketidaktepatan (yang berkaitan dengan saiz sampel keseluruhan yang kecil dan kadar kejadian yang rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information