Agonis beta2 yang bertindak lama dan antagonis muskarinik bertindak lama dalam inhaler gabungan sekali sehari berbanding plasebo bagi penyakit paru-paru obstruktif kronik

Kami ingin tahu sama ada rawatan sekali sehari dengan kombinasi dos tetap agonis beta2 (LABA) bertindak lama dan antagonis muscarinik bertindak lama (LAMA) yang diberi melalui inhaler tunggal adalah lebih baik daripada rawatan dengan inhaler tiruan (plasebo) untuk orang dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Latar belakang ulasan

COPD adalah penyakit paru-paru dan merupakan punca kematian keempat paling lazim di seluruh dunia. Orang dengan COPD mengalami gejala batuk, sesak nafas dan pengumpulan lendir, yang menjadi lebih teruk dari masa ke masa. Rawatan semasa untuk COPD bertujuan untuk menguruskan gejala-gejala ini dan meningkatkan kualiti hidup orang dengan penyakit ini.

Gabungan LABA dan LAMA sekali sehari dalam satu inhaler (LABA/ LAMA) telah terbukti lebih berkesan daripada mengambil setiap ubat tersebut secara berasingan dalam inhaler yang berlaianan. Terdapat beberapa kombinasi sedia ada LABA dan LAMA yang disedut (contoh: indacaterol/glycopyrronium, olodaterol/tiotropium, formoterol/ aclidinium, dan vilanterol/ umeclidinium) dan digunakan untuk rawatan COPD. Dengan mengumpulkan maklumat daripada kajian klinikal yang membandingkan LABA/LAMA sekali sehari dengan plasebo dalam inhaler tiruan, kami akan memberi maklumat untuk membantu penyelidikan masa depan menentukan kombinasi terbaik untuk merawat orang dengan COPD.

Apakah yang kami temui?

Dua puluh dua kajian (8641 orang dengan COPD) telah membandingkan LABA/LAMA sekali sehari dalam satu inhaler dengan inhaler tiruan. Peserta dibenarkan untuk terus menggunakan kortikosteroid yang disedut (ICS) semasa kajian; kira-kira satu pertiga hingga separuh orang menggunakan ICS pada permulaan setiap kajian. Bukti yang dibentangkan dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Disember 2018. Majoriti orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian mempunyai COPD ringan hingga sederhana dan purata umur orang dalam setiap kajian adalah antara 59 hingga 65 tahun. Enam kajian menilai kombinasi sekali sehari indacaterol/ glycopyrronium, tujuh kajian menilai tiotropium/olodaterol, lapan kajian menilai umeclidinium/ilanterol dan satu kajian menilai aclidinium/formoterol.

Orang yang mengambil LABA/LAMA sekali sehari menggunakan satu inhaler menunjukkan peningkatan lebih baik dalam kualiti hidup berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo dari inhaler tiruan., fungsi paru-paru juga bertambah baik dalam kalangan orang yang mengambil LABA/LAMA sekali sehari. Orang yang mengambil umeclidinium/vilanterol mempunyai kurang sesak nafas (eksaserbasi). Tiada perbezaan signifikan di antara kumpulan (LABA/LAMA berbanding plasebo) dalam bilangan orang yang meninggal dunia, atau dalam bilangan orang yang mengalami peristiwa buruk yang serius atau sebarang peristiwa buruk. Keputusan adalah serupa untuk pelbagai kombinasi LABA/LAMA dan dos yang kami nilai

Kajian-kajian yang disertakan umumnya direka bentuk dan dilaporkan dengan baik. Peserta dalam kajian dan mereka yang melakukan penyelidikan tidak tahu mana satu rawatan yang diterima oleh peserta, ini memastikan penilaian yang adil terhadap rawatan-rawatan tersebut.

Dalam tiga kajian, orang yang mengambil LABA/LAMA sekali sehari mempunyai COPD yang lebih teruk pada permulaan kajian berbanding orang yang mengambil inhaler tiruan; ini mungkin mengurangkan kesan rawatan yang dilihat dengan LABA/LAMA dalam kajian-kajian tersebut, oleh itu kami yakin bahawa kami tidak membuat anggaran berlebihan tentang kesan yang dilihat dengan LABA/LAMA sekali sehari . Salah satu hasil yang berkepentingan (sejauh mana seseorang boleh berjalan dalam enam minit) tidak dilaporkan oleh mana-mana kajian yang disertakan. Secara keseluruhan, kami yakin dengan kesimpulan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save