Kelahiran yang dirancang pada atau hampir tempoh bagi wanita hamil dengan diabetes gestasi dan bayi mereka

Apakah isunya?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika merancang kelahiran elektif pada atau hampir tempoh kehamilan, berbanding menunggu pelahiran bermula secara spontan, mempunyai impak terhadap kesihatan wanita dengan diabetis gestasi dan kesihatan bayi mereka. Kelahiran awal yang dirancang bermaksud mencetuskan kelahiran atau pembedahan caesaran, dan 'pada atau hampir tempoh' bermaksud 37 hingga 40 minggu gestasi. Untuk menjawab soalan ini, kami mengumpul dan menganalisis semua kajian relevan yang dijalankan sehingga Ogos 2017.

Mengapakah ini penting?

Wanita dengan diabetis gestasi (intolerans kepada glukosa semasa hamil) dan bayi mereka lebih berisiko untuk komplikasi kesihatan (seperti tekanan darah tinggi, bayi lebih besar). Oleh kerana komplikasi yang kadangkala dikaitkan dengan kelahiran bayi yang besar, ramai klinisian mengesyorkan wanita dengan diabetis gestasi menjalani kelahiran elektif (umumnya induksi kelahiran) pada atau hampir tempoh (37 hingga 40 minggu kehamilan) daripada menunggu kelahiran bermula secara spontan, atau sehingga 41 minggu gestasi jika semuanya berjalan lancar. Induksi mempunyai keburukan meningkatkan kejadian kelahiran forseps atau kelahiran ventouse, dan wanita sering merasa sukar untuk mengatasi induksi pelahiran. Pembedahan caesarean adalah operasi major yang boleh menyebabkan kehilangan darah, jangkitan dan peningkatan masalah kelahiran berikutnya. Kelahiran awal meningkatkan peluang masalah pernafasan untuk bayi. Adalah penting untuk mengetahui pendekatan kelahiran yang mempunyai impak lebih baik terhadap hasil kesihatan wanita dengan diabetis gestasi dan bayi mereka.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Carian kami mengenalpasti satu kajian melibatkan 425 wanita dan bayi mereka. Dalam kajian ini, 214 wanita menjalani induksi pelahiran pada tempoh, 211 wanita yang lain menunggu permulaan pelahiran spontan.

Penemuan kajian ini tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara bayi wanita hamil dalam mana-mana kumpulan yang berkait dengan bilangan bayi yang besar, bahu bayi yang tersangkut semasa kelahiran atau bayi dengan masalah pernafasan, gula darah rendah dan kemasukan ke unit rawatan intensif neonatal. Tiada bayi dalam kajian mengalami trauma kelahiran. Dalam kumpulan wanita yang mengalami induksi kelahiran, terdapat lebih banyak jaundis dalam kalangan bayi. Tiada perbezaan jelas antara wanita dalam mana-mana kumpulan yang berkait dengan masalah kesihatan wanita yang serius, pembedahan caesarean, kelahiran faraj instrumental, perdarahan selepas bersalin, kemasukan ke unit penjagaan intensif dan keutuhan perineum. Tiada laporan kematian ibu dalam mana-mana kumpulan. Perlu diingat bahawa kebanyakan bukti yang didapati adalah berkualiti sangat rendah.

Hasil berikut tidak dilaporkan: kemurungan postnatal, kepuasan ibu, tempoh tinggal selepas bersalin (ibu), bayi dengan asid darah yang tinggi, pendarahan dalam otak bayi, masalah otak lain untuk bayi, usia gestasi bayi yang kecil untuk bayi dan tempoh tinggal postnatal bayi.

Apakah maksudnya?

Tiada cukup bukti untuk mengenal pasti dengan jelas sama ada perbezaan dalam hasil kesihatan wanita dengan diabetis gestasi dan bayi mereka apabila kelahiran elektif dijalankan berbanding menunggu pelahiran bermula secara spontan atau sehingga 41 minggu gestasi jika semuanya berjalan lancar. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menjawab soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save