Penggunaan ultrasound abdomen untuk mendiagnosis tuberkulosis abdomen atau tuberkulosis yang sudah tersebar dengan penglibatan abdomen terhadap individu dengan HIV-positif

Mengapa memperbaiki diagnosis tuberkulosis pada individu dengan HIV penting?

Mendiagnosis tuberkulosis aktif terhadap orang yang hidup dengan HIV adalah mencabar. Individu yang mempunyai tekanan imun peringkat teruk mempunyai kadar tuberkulosis luar paru-paru yang tinggi (tuberkulosis luar paru-paru).

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui bagaimana ketepatan pemeriksaan ultrasound abdomen (ultrasound untuk abdomen) untuk mendiagnosis tuberkulosis terhadap individu dengan HIV yang disyaki mempunyai tuberkulosis dalam tuberkulosis yang telah tersebar luas (tuberkulosis yang sudah tersebar) melibatkan abdomen.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ultrasound pada abdomen boleh dilakukan selepas ujian-ujian lain (contohnya, x-ray dada tidak menunjukkan tuberkulosis) atau ia boleh dilakukan sebelum ujian-ujian lain terhadap orang yang disyaki mempunyai tuberkulosis. Ulasan ini memberikan tumpuan dalam situasi di mana ujian-ujian lain tidak tersedia.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami menjumpai 11 buah kajian, tetapi hanya enam yang relevan untuk analisis utama. Enam buah kajian tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan. Dalam kumpulan pertama, tuberkulosis didiagnos dengan mengenal pasti organisma yang menyebabkan tuberkulosis dari sebarang spesimen (pengesahan secara mikrobiologi). Bagi kumpulan kedua, tuberkulosis telah didiagnosis apabila pegawai kesihatan mengesyaki tuberkulosis dan memulakan rawatan anti-tuberkulosis, tetapi ianya dilakukan tanpa mengenal pasti organisma (diagnosis klinikal). Tiga buah kajian menyediakan hasil-hasil kajian bagi kedua-dua kumpulan.

Ulasan ini memasukkan lima buah kajian (sejumlah 879 orang peserta) dengan pengesahan secara mikrobiologi. Hasil-hasil kajian menunjukkan bahawa jika ultrasound abdomen akan digunakan dalam kumpulan seramai 1000 orang dengan HIV di mana 200 orang (20%) mempunyai tuberkulosis maka:

-Kira-kira 382 individu akan mempunyai keputusan ultrasound yang menunjukkan tuberkulosis; daripada ini, 256 (67%) akan salah dikelaskan sebagai mempunyai tuberkulosis (positif yang palsu).

-Daripada 618 individu dengan keputusan yang menunjukkan tiada tuberkulosis, 74 (12%) akan salah dikelaskan sebagai tidak mempunyai tuberkulosis (negatif yang palsu).

Sejauh manakah ketepatan keputusan daripada kajian-kajian dalam ulasan ini?

Pengesahan secara mikrobiologi mungkin boleh menjadi kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada individu tersebut benar-benar mempunyai tuberkulosis; diagnosis klinikal adalah kurang boleh dipercayai. Kami mendapati masalah dalam cara pelaksaaan kajian bagi kedua-dua kumpulan. Mengurangkan jumlah hasil positif yang palsu boleh membuatkan ultrasound abdomen kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya. Nombor yang ditunjukkan adalah purata merentas kajian. Oleh sebab anggaran daripada kajian-kajian individual adalah pelbagai, kami tidak pasti sama ada ultrasound abdomen akan selalu menghasilkan keputusan-keputusan ini. Jumlah orang yang telah dikaji tidak mencukupi untuk kita meyakini keputusan-keputusan tersebut.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini dapat diaplikasikan?

Kajian-kajian yang dimasukkan dalam analisis-analisis utama telah dilakukan di Kemboja, India, Afrika Selatan, Sudan Selatan, Sepanyol, dan Tanzania. Sebab-sebab untuk memasukkan orang berbeza-beza di antara kajian-kajian. Empat buah kajian menggunakan pakar radiologis terlatih (pakar-pakar) atau sonographers; dua orang doktor yang terlatih dalam penggunaan ultrasound (bukan pakar), dan dua mengambil kira orang tanpa disyaki mempunyai tuberkulosis. Merentasi kajian-kajian, peratusan orang dengan diagnosis akhir untuk tuberkulosis berada dalam lingkungan di antara 18% hingga 64%.

Apakah implikasi ulasan ini?

Jika ujian itu digunakan untuk mengambil kira penyakit tersebut dalam ketiadaan bukti lain, maka, peluang mendiagnosis seseorang dengan tuberkulosis yang sebenarnya tidak mempunyainya adalah tinggi. Kebarangkalian untuk terlepas diagnosis tuberkulosis apabila hasil ujian positif adalah lebih rendah, tetapi ujian negatif sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menyisihkan penyakit. Dapatan-dapatan kajian ini perlu diambil kira apabila membuat keputusan untuk menggunakan atau tidak ultrasound abdomen untuk menguji kehadiran tuberkulosis yang melibatkan abdomen dan bagaimana untuk mentafsirkan keputusan-keputusan dalam konteks maklumat ujian klinikal dan diagnostik lain.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis-penulis ulasan telah mencari kajian-kajian sehingga 4 April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information