Kelambu piretroid-PBO bagi mencegah malaria

Latar belakang

Kelambu katil yang telah dirawat dengan insektisid piretroid adalah antara cara yang didapati berkesan untuk mengurangkan penularan malaria dan kelambu ini telah dihantar ke seluruh Afrika. Bagaimanapun, nyamuk yang menyebarkan malaria kini telah dapat membina rintangan kepada insektisid jenis ini. Satu cara untuk mengatasi rintangan ini ialah dengan menambah satu lagi bahan kimia,iaitu piperonyl butoxide (PBO) - kepada kelambu-kelambu tersebut. PBO adalah bahan kimia bukan insektisid, tetapi ia bertindak dengan menyekat bahan (sejenis enzim) di dalam badan nyamuk yang berfungsi untuk menghentikan piretroid daripada berfungsi.

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini ialah untuk melihat sama ada kelambu piretroid-PBO boleh memberikan perlindungan tambahan terhadap malaria apabila dibandingkan kepada kelambu piretroid standard.

Mesej utama

Kelambu piretroid-PBO adalah lebih berkesan berbanding kelambu piretroid standard sahaja dalam membunuh nyamuk dan mencegah gigitan di kawasan di mana populasi nyamuk tersebut mempunyai rintangan tinggi terhadap insektisid piretroid (bukti berkepastian tinggi). Kelambu pyrethroid-PBO mengurangkan jumlah jangkitan malaria di kawasan yang mempunyai rintangan pyrethroid yang tinggi (bukti kepastian sederhana), walaupun begitu kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengukur hasil klinikal sepanjang hayat kelambu tersebut.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memasukkan 16 kajian yang dijalankan antara tahun 2010 dan 2020 yang membandingkan kelambu piretroid standard dengan kelambu piretroid-PBO. Ini merangkumi 10 kajian pondok percubaan yang mengukur impak kelambu piretroid-PBO ke atas populasi nyamuk yang liar, empat kajian di kampung dan dua cRCTs. Kedua-dua cRCTs mengukur impak kelambu piretroid-PBO ke atas jangkitan malaria di kalangan manusia;manakala kajian-kajian yang lain merekod impaknya ke atas populasi nyamuk sahaja. Kami menganalisa kajian pondok dan kampung untuk menentukan sama ada kelambu piretroid-PBO lebih berkesan untuk membunuh nyamuk dan mencegah gigitannya. Bagi kedua-dua kajian cRCTs, kami mengkaji adakah kelambu piretroid-PBO mengurangkan bilangan jangkitan malaria. Oleh kerana penambahan PBO kepada kelambu berkemungkinan bergantung kepada tahap rintangan piretroid di dalam populasi nyamuk, kami lakukan analisa berasingan bagi kajian yang dijalankan di kawasan-kawasan rintangan piretroid bertahap tinggi, sederhana, dan rendah.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Apabila nyamuk menunjukkan rintangan kepada piretroid pada tahap yang tinggi, kelambu piretroid-PBO adalah lebih baik berbanding kelambu piretroid standard sahaja untuk membunuh nyamuk dan mencegah gigitannya. Seperti dijangka, kesan ini tidak dilihat di kawasan-kawasan di mana nyamuk menunjukkan rintangan yang rendah atau tiada kepada insektisid piretroid sahaja. Dua kajian melihat kepada impak penggunaan kelambu piretroid-PBO ke atas bilangan penduduk yang dijangkiti dengan parasit malaria. Kajian-kajian ini, melibatkan sejumlah10,603 peserta dan dijalankan di kawasan di mana nyamuk menunjukkan rintangan sangat tinggi kepada piretroid, didapati terdapat pengurangan jumlah penduduk yang dijangkiti malaria apabila penduduk setempat menggunakan kelambu piretroid-PBO berbanding kepada kelambu piretroid standard sahaja.

Setakat manakah ulusan ini terkini?

Kami mencari semua kajian dan percubaan yang telah diterbitkan sehingga 25 September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oelh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. .

Tools
Information