Kawalan pemaknan, aktiviti fizikal dan intervensi tingkah laku untuk rawatan remaja dengan berat badan berlebihan atau obes dari umur 12 hingga 17 tahun.

Soalan ulasan

Berkesankah kawalan pemakanan, aktiviti fizikal dan intervensi tingkah laku dalam mengurangkan timbangan remaja yang terlebih berat badan atau obes berumur 12 hinggan 17 tahun?

Latar belakang

Di serata dunia, semakin ramai remaja telah menjadi obes atau terlebih berat badan. Para remaja ini mungkin lebih cenderung untuk menghidap masalah kesihatan di kehidupan akan datang. Lebih maklumat diperlukan tentang cara paling berkesan untuk merawat masalah ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati terdapat 44 kajian rawak terkawal (kajian yang mana orang-orang dipilih secara rawak untuk salah satu kumpulan rawatan) yang membandingkan rawatan kawalan pemakanan, aktiviti fizikal, dan tingkah laku (di mana tabiat diubah atau diperbaiki) kepada pelbagai kumpulan kawalan yang disampaikan kepada 4781 remaja obes atau terlebih berat badan berumur 12 hingga 17 tahun. Ulasan sistematik kami melaporkan kesan-kesan intervensi pelbagai disiplin, intervensi kawalan pemakanan dan intervensi aktiviti fizikal berbanding kumpulan kawalan (tiada intervensi, 'penjagaan biasa' atau penjagaan biasa yang dipertingkatkan atau terapi lain jika ia disampaikan kepada kumpulan intervensi). Para remaja yang terlibat dalam kajian dipantau (disusuli) di antara enam bulan hingga dua tahun.

Keputusan-keputusan utama

Purata umur remaja adalah 12 hingga 17.5 tahun. Kebanyakan kajian melaporkan indeks jisim tubuh (BMI). BMI adalah ukuran lemak badan dan dikira dengan membahagikan berat (dalam kilogram) dengan ketinggian dalam meter berkuasa dua (kg/m²). Kami meringkaskan keputusan 28 kajian yang melibatkan 2774 remaja dengan melaporkan BMI, secara purata adalah 1.18 kg/m² lebih rendah dalam kumpulan intervensi berbanding kumpulan kawalan. Kami meringkaskan keputusan 20 kajian yang melibatkan 1993 remaja dengan melaporkan berat, secara purata adalah 3.67 kg lebih rendah dalam kumpulan intervensi berbanding kumpulan kawalan. Pengurangan BMI dikekalkan pada 18 hingga 24 bulan susulan (memantau peserta sehingga akhir kajian), yang mana secara purata adalah 1.49 kg/m² lebih rendah dalam kumpulan intervensi berbanding kumpulan kawalan. Intervensi-intervensi telah menambah baik kualiti hidup berkaitan kesihatan secara sederhana (ukuran kepuasan seseorang dengan kehidupan dan kesihatan) namun kami tidak mendapati bukti kukuh kebaikan atau keburukan intervensi-intervensi tersebut dalam meningkatkan harga diri, aktiviti fizikal dan pengambilan makanan. Tiada kajian yang melaporkan kematian dari sebarang sebab, morbiditi (sakit) atau kesan sosioekonomi (misalnya jumlah hari tidak ke sekolah). Tiga kajian melaporkan tiada kesan sampingan, satu kajian melaporkan tiada kesan sampingan serius, satu kajian tidak memberi perincian kesan sampingan dan yang lainnya tidak melaporkan sama ada kesan sampingan berlaku atau tidak.

Kami mengenal pasti 50 kajian yang sedang berlangsung yang akan dimasukkan dalam ulasan kemas kini.

Status bukti

Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2016.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah untuk semua hasil (keputusan) yang diukur, terutama kerana keyakinan terbatas dalam perlaksanaan kajian, dan keputusan-keputusan adalah tidak konsisten di antara kajian dan cara sesetengah hasil diguna tidak dapat menjelaskan hasil obesiti secara langsung. Juga, terdapat hanya sebilangan kecil kajian untuk sesetengah hasil, dengan bilangan kecil remaja yang terlibat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save