Yoga untuk inkontinens urinari dalam wanita

Soalan ulasan

Kami mengkaji samada yoga adalah berguna untuk rawatan inkontinens urinari dalam wanita. Kami membandingkan yoga dengan tanpa rawatan dan rawatan lain untuk inkontinens. Kami juga membandingkan yoga beserta rawatan lain dengan rawatan lain sahaja. Kami memberi tumpuan ke atas gejala-gejala inkontinen, kualiti kehidupan dan kesan-kesan buruk. Kami juga mencari maklumat terhadap aspek kos rawatan yoga.

Latarbelakang

Sehingga 15% daripada wanita pada pertengahan umur atau lebih tua mungkin mengalami inkontinens urinari. Inkontinens boleh dikategorikan sebagai inkontinens urinari tidak terkawal, yang didefinasikan sebagai kehilangan urin yang tidak terkawal berkait dengan keinginan kuat untuk buang air kecil secara tiba-tiba, atau inkontinens urinari stres, di mana aktiviti seperti bersin menyebabkan pengeluaran urin yang tidak terkawal. Kedua-dua jenis ini boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan sosial, psikologi dan fungsi seksual. Rawatan inkontinens lazimnya dimulakan dengan nasihat perubahan gaya hidup seperti mengurangi pengambilan kafein, intervensi tingkah laku seperti latihan pundi kencing atau senaman untuk otot lantai pelvik. Walau bagaimanapun, ramai wanita berminat dengan rawatan tambahan seperti yoga, satu sistem falsafah, gaya hidup dan amalan fizikal yang berasal dari India purba.

Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?

Bukti adalah terkini sehingga 21 Jun 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui dua kajian yang melibatkan keseluruhan 49 wanita. Satu merupakan kajian enam minggu yang membandingkan yoga dengan senarai menunggu (kelewatan rawatan) dalam kalangan wanita yang mengalami samada stres atau inkontinens urinari tidak terkawal. Satu lagi adalah kajian lapan minggu yang membandingkan yoga dengan pengurangan stres berasaskan kesedaran (MBSR) dalam kalangan wanita yang mengalami inkontinens urinari tidak terkawal. Kami juga mengenalpasti satu kajian yang sedang berjalan melibatkan 50 wanita yang bertujuan membandingkan yoga dengan regangan; kami akan masukkan kajian ini apabila hasilnya dilaporkan.

Keputusan-keputusan utama

Kajian yang membandingkan yoga dengan senarai menunggu tidak melaporkan bilangan wanita yang mengalami kesembuhan tetapi melaporkan gejala-gejala, kualiti kehidupan dan kesan-kesan buruk. Walaupun perbandingan ini secara amnya memihak kepada intervensi yoga, kami tidak pasti samada yoga menambahbaik inkontinens urinari kerana bukti kepastian yang sangat rendah. Tidak ada perbezaan dalam bilangan wanita antara kumpulan yang melaporkan kejadian buruk dan tidak ada kejadian buruk yang serius, tetapi kami tidak pasti samada yoga meningkatkan bahaya kerana bukti kepastian yang sangat rendah.

Kajian yang membandingkan yoga dengan MBSR melaporkan gejala-gejala dan kualiti kehidupan tetapi tidak melaporkan bilangan wanita yang sembuh. Walaupun perbandingan ini secara amnya memihak kepada intervensi MBSR, kami tidak pasti samada yoga menambahbaik inkontinens urinari kerana bukti kepastian yang sangat rendah. Tiada maklumat tentang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Kami tidak menemui apa-apa maklumat mengenai kos yoga untuk inkontinens urinari.

Kualiti bukti

Walaupun kami telah mengenal pasti beberapa bukti mengenai rawatan yoga untuk merawat inkontinens urinari dalam kalangan wanita, kajian yang dimasukkan adalah sangat kecil dan terdapat isu dalam cara perlaksanaannya, yang telah menghadkan keyakinan kami dalam keputusan mereka. Disebabkan keadaan semulajadi rawatan, peserta-peserta dan kakitangan kajian yang membandingkan yoga dengan senarai menunggu telah mengetahui pembahagian kumpulan masing-masing dan ada kemungkinan wanita dalam kumpulan yoga melaporkan beberapa kebaikan kerana mereka telah menjangka yoga dapat membantu. Kajian yang membandingkan yoga dengan MBSR tidak berhasrat untuk menguji yoga sebagai rawatan untuk inkontinens. Sebaliknya, kajian menguji MBSR sebagai rawatan dan menggunakan kelas yoga untuk memastikan wanita dalam kumpulan perbandingan menerima perhatian daripada kakitangan kajian. Di samping itu, kajian membandingkan yoga dengan MBSR tidak mengumpul hasil keputusan terhadap semua wanita dan ada kemungkinan wanita yang melaporkan hasil keputusan mempunyai keputusan yang lebih baik atau lebih buruk berbanding wanita yang tidak melaporkan hasil keputusan. Pada masa ini bukti berkualiti baik tidak mencukupi untuk menilai samada yoga adalah berguna untuk wanita yang mengalami inkontinens urinari.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save