Intervensi bukan farmakologi untuk sakit kronik dalam sklerosis berbilang

Soalan ulasan

Bolehkah rawatan bukan ubatan memperbaiki sakit kronik dalam sklerosis (MS) berbilang berbanding rawatan tidak aktif?

Latar belakang

Sakit kronik dalam kalangan orang dengan MS (pwMS) adalah lazim, dan rawatan dengan ubatan boleh dikaitkan dan dihadkan oleh kesan sampingan seperti kekeliruan, jatuh, pening dan mengantuk, Banyak rawatan bukan ubatan digunakan untuk merawat sakit kronik dalam pwMS, termasuk senaman, psikologi, terapi rangsangan elektrik, refleksologi dan lain-lain.

Tarikh Carian

Kami memasukkan semua kajian-kajian klinikal rawak (kajian klinikal di mana pesakit ditempatkan dalam satu dari dua atau lebih kumpulan-kumpulan intervensi) yang diterbitkan sehingga Disember 2017.

Ciri-ciri Kajian

Keseluruhannya, kami menemui 10 kajian yang menilai pelbagai rawatan bukan ubatan untuk merawat sakit kronik dalam kalangan orang dengan MS. Rawatan yang dinilai termasuk: rangsangan saraf elektrik transkutaneus, rangsangan terus transkranial, rangsangan bunyi rambang transkranial, refleksologi, psikoterapi dan hidroterapi. Kajian-kajian tersebut melibatkan 565 peserta dan menggunakan pelbagai kaedah berbeza untuk mengukur sakit dan hasil lain. Kumpulan perbandingan juga berbeza.

Keputusan utama

Keputusan kajian-kajian tersebut menunjukkan bukti tahap sangat rendah penggunaan sebarang rawatan bukan ubatan untuk sakit kronik dalam kalangan orang dengan MS.

Kualiti Bukti

Kami menilai kualiti keseluruhan kajian-kajian sebagai sangat rendah, kerana kebanyakan kajian hanya menyertakan bilangan peserta yang kecil dan mempunyai isu metodologi lain. Lebih banyak penyelidikan dengan kualiti metodologi baik dan bilangan peserta yang lebih ramai diperlukan untuk mengetahui keberkesanan rawatan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save