Perencat PDE5 untuk hipertensi pulmonari

Soalan ulasan:

Kami ingin mengulas sama ada sekumpulan ubat yang dipanggil perencat PDE5 (yang mungkin boleh membuka salur darah di paru-paru) dapat membantu orang dengan hipertensi pulmonari (peningkatan tekanan dalam salur darah paru-paru). Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 36 kajian.

Kenapa ulasan ini penting:

Kira-kira tiga orang dalam setiap 1000 mempunyai hipertensi pulmonari, akibat pelbagai sebab. Ini boleh menyebabkan berkurangnya keupayaan senaman, mengurangkan kualiti hidup, meningkatkan hospitalisasi, dan kematian awal. Sekumpulan ubat yang dipanggil perencat PDE5 boleh memperbaiki peredaran darah jantung dan paru-paru kanan. Kami ingin memastikan jika ubat-ubatan ini digunakan, terdapat bukti manfaat dan sedikit atau tiada mudarat.

Keputusan-keputusan utama

Kami memasukkan 36 kajian dengan 2999 peserta. Kajian telah dijalankan selama 14 minggu secara purata, dengan sesetengahnya selama 12 bulan. Kebanyakan kajian melibatkan orang dewasa, dan dua kajian khusus memasukkan kanak-kanak.

Sembilan belas kajian memasukkan kumpulan hipertensi arteri pulmonari 1 (diwarisi, tidak diketahui, akibat penyakit tisu perantara). Orang yang diberi perencat PDE5 dibandingkan dengan yang tidak diberi perencat PDE5. Ulasan ini menunjukkan apabila perencat PDE5 diberi, secara purata orang berjalan 48 meter lebih jauh dalam enam minit (8 kajian, 880 orang). Mereka juga dapat memperbaiki kelas berfungsi (mengurangkan batasan fizikal yang berkaitan dengan PH), dan kurang berkemungkinan untuk mati (bukti kepastian tinggi). Mereka juga lebih cenderung mendapat kesan sampingan, termasuk sakit kepala, kemerahan kulit dan sakit otot.

Lima kajian memasukkan orang dengan hipertensi pulmonari penyakit jantung kiri. Kajian ini menunjukkan bahawa apabila perencat PDE5 diberi, secara purata mereka dapat berjalan 34 meter lebih jauh dalam enam minit (3 kajian, 284 orang dan bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, tiada perbezaan dalam survival, berbanding mereka yang tidak diberi perencat PDE5. Lima kajian memasukkan orang dengan hipertensi pulmonari akibat penyakit paru-paru (kebanyakannya penyakit pulmonari obstruktif kronik dan beberapa fibrosis pulmonari idiopatik). Apabila diberi perencat PDE5, mereka dapat berjalan 27 meter lebih jauh dalam enam minit (bukti kepastian rendah), tetapi tiada perbezaan dalam survival, berbanding mereka yang tidak diberi perencat PDE5. Tiga kajian memasukkan orang dengan hipertensi pulmonari akibat klot darah; tiada perbezaan ketara dalam hasil bagi mereka yang menggunakan perencat PDE5 berbanding mereka yang tidak.

Batasan-batasan

Terdapat bukti yang baik untuk mereka dengan hipertensi arteri pulmonari, memberi kami keyakinan bahawa keputusan adalah betul. Bukti bagi mereka dengan hipertensi pulmonari akibat penyakit jantung adalah kurang pasti. Kualiti bukti dalam kumpulan ini adalah rendah kerana terdapat bilangan kajian yang kecil, bilangan orang yang mengambil bahagian adalah kecil, dan kajian-kajian agak berbeza di antara satu sama lain, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save