Bronkodilator yang bertindak lama manakah yang paling efektif dan selamat bagi pesakit penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)?

Apakah COPD dan mengapa doktor mempreskripsi ubat penyedut ini?

Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) biasanya disebabkan oleh tabiat merokok ataupun ejen kerengsaan saluran udara yang lain. COPD merosakkan paru-paru dan menyempitkan saluran udara seterusnya menyukarkan pernafasan.

Terdapat dua jenis ubat penyedut bagi COPD: penyelamatan dan pengawalan. Ubat penyedut jenis penyelamatan bertindak cepat dan digunakan untuk mengurangkan gejala penyakit ini dengan secepat manakala ubat penyedut udara jenis pengawalan bertindak lama dan digunakan setiap hari untuk mengurangkan gejala penyakit. Ubat penyedut yang bertindak lama biasanya digunakan dalam rawatan COPD yang lebih teruk.

Adakah jenis ubat penyedut yang bertindak lama penting bagi pesakit COPD yang teruk?

Ubat penyedut yang biasa digunakan sebagai ubat pengawalan dibahagikan kepada empat kumpulan yang berbeza: long-acting beta2-agonists (LABAs); long-acting muscarinic antagonists (LAMAs); gabungan LABA/inhaled korticosteroid (ICS); and gabungan LABA/LAMA. Gabungan ubat-ubat penyedut biasanya digunakan untuk pesakit COPD yang tidak sembuh dengan satu ubat penyedut sahaja seperti LAMA ataupun LABA. Tidak terdapat banyak perbandingan dilakukan bagi menentukan kumpulan rawatan atau ubat penyedut yang lebih baik berbanding yang lain. Pencegahan suar yang teruk dan kemasukan ke hospital sangat penting terutamanya bagi pesakit COPD, pakar penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan masyarakat.

Bagaimanakah kami menjawab soalan ini?

Kami mengumpulkan dan menganalisis data daripada 99 kajian yang melibatkan sejumlah 101,311 orang peserta yang mengalami COPD yang teruk dengan menggunakan kaedah khusus yang dikenali sebagai rangkaian meta-analisis. Hal ini mengizinkan kami membandingkan empat gabungan penyedut dan 28 ubat-ubat penyedut (4 LABAs, 5 LAMAs, 9 gabungan LABA/ICS dan 10 gabungan LABA/LAMA) pada masa yang sama.

Apakah yang kami temui?

Gabungan LABA/LAMA adalah rawatan terbaik, diikuti dengan LAMA dalam mencegah suar walaupun terdapat ketidakpastian dalam keputusan-keputusan tersebut. Secara umumnya, gabungan ubat-ubat penyedut (LABA/LAMA dan LABA/ICS) adalah lebih berkesan dalam menangani gejala-gejala berbanding terapi satu ejen sahaja (LAMA dan LABA). Gabungan LABA/LAMA adalah lebih baik daripada gabungan LABA/ICS, terutamanya dalam kalangan pesakit yang mempunyai sejarah episod suar. Gabungan LABA/ICS mengakibatkan lebih banyak kes pneumonia yang teruk berbanding gabungan yang lain. Kami tidak menjumpai perbezaan dari segi manfaat dan kemudaratan, termasuklah kesan-kesan sampingan antara jenis-jenis penyedut dalam kumpulan rawatan yang sama.

Kesimpulan

Gabungan LABA/LAMA dipercayai rawatan yang terbaik dalam mencegah suar COPD. Ubat penyedut LAMA kelihatan lebih bermanfaat daripada ubat penyedut tanpa LAMA dalam mencegah suar. Gabungan ubat penyedut (LABA/LAMA dan LABA/ICS) kelihatan lebih berkesan daripada terapi satu ejen sahaja (LAMA dan LABA) dalam mengawal gejala-gejala penyakit. Steroid dalam sedutan meningkatkan risiko pneumonia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information
Share/Save