Program saringan pergigian sekolah untuk memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika saringan pergigian sekolah memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak; dan jika benar, kaedah saringan mana yang terbaik. Kami mendapati enam kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Ini adalah kemas kini tinjauan asal, yang pertama kali diterbitkan pada Disember 2017.

Mesej-mesej utama

Tiada cukup bukti untuk merumuskan sama ada saringan pergigian tradisional sekolah berperanan memulihkan kehadiran temu janji pergigian. Program saringan pergigian sekolah dengan surat rujukan peribadi atau elemen motivasi tambahan mungkin mampu memperbaiki kehadiran temu janji pergigian untuk jangka masa pendek (susulan tiga bulan hingga dua tahun). Saringan berdasarkan kriteria spesifik mungkin lebih baik berbanding tiada saringan. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas jika peningkatan kehadiran temu janji pergigian menjadikan kesihatan oral kanak-kanak lebih baik. Kami masih memerlukan kajian berkualiti tinggi yang mengukur impak saringan ke atas kesihatan oral yang dilaksanakan untuk jangka masa lebih lama.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penyakit oral, terutama karies gigi, melibatkan kanak-kanak di seluruh dunia. Jika tidak dirawat, kesihatan oral boleh terus merosot dan memberi impak buruk kepada kesejahteraan kanak-kanak. Ia juga memberi kesan kewangan kepada keluarga dan komuniti.

Saringan pergigian sekolah adalah langkah kesihatan awam di mana pemeriksaan oral kanak-kanak dilaksanakan di persekitaran sekolah dan diikuti oleh pemberitahuan ibu bapa tentang keadaan oral dan keperluan rawatan kanak-kanak. Ia bertujuan untuk mengenal pasti masalah pada peringkat awal dan mengingatkan ibu bapa untuk mendapat rawatan yang diperlukan. Sama ada ini memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak menjadi matlamat ulasan ini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati enam kajian dengan 20,192 kanak-kanak yang dimasukkan dalam analisis. Empat kajian dijalankan di UK dan dua di India dan satu di AS. Kanak-kanak dalam kajian-kajian ini berumur 4 hingga 15 tahun. Kajian-kajian membandingkan kanak-kanak yang disaring di sekolah dengan kanak-kanak yang tidak menjalani saringan dari segi kesihatan oral dan lawatan ke doktor pergigian. Kajian-kajian membandingkan satu jenis saringan dengan yang lain (misalnya, variasi dalam pemeriksaan klinikal atau proses rujukan).

Kami tidak pasti sama ada saringan pergigian tradisional sekolah memperbaiki kehadiran temu janji pergigian kerana kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah.

Saringan berasaskan kriteria spesifik (misalnya tiada pendaftaran dengan doktor pergigian) dilihat lebih berkesan untuk memperbaiki kehadiran temu janji pergigian berbanding tiada saringan (kepastian bukti rendah), tetapi mungkin tiada perbezaan antara saringan berasaskan kriteria dengan saringan am (bukti kepastian sangat rendah).

Surat rujukan peribadi kepada ibu bapa mungkin memperbaiki kehadiran temu janji pergigian (bukti kepastian rendah).

Saringan yang ditambah dengan motivasi dari segi pendidikan kesihatan dan tawaran rawatan percuma mungkin memperbaiki kehadiran temu janji pergigian (bukti kepastian rendah).

Bukti tersebut tidak konklusif daripada suatu kajian yang membandingkan pelbagai surat rujukan: surat rujukan berdasarkan model teori yang dikenali sebagai 'model akal-pengaturan kendiri' yang dihantar kepada ibu bapa kanak-kanak yang dikenalpasti memerlukan rawatan semasa saringan, dengan atau tanpa panduan maklumat pergigian, berbanding surat rujukan tradisional (bukti kepastian sangat rendah).

Kesemua tujuh kajian menyusul kanak-kanak untuk tiga hingga lapan bulan selepas saringan. Oleh itu kami tidak tahu sama ada manfaat saringan dapat bertahan lama.

Kami tidak menjumpai kajian yang menangani keberkesanan kos program-program ini atau sebarang kesan buruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 4 Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura I(Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information
Share/Save