Penambahan probiotik ibu untuk pencegahan morbiditi dan mortaliti bayi lahir pramasa

Soalan ulasan
Adakah probiotik yang diberi kepada wanita hamil sebelum bersalin/atau probiotik yang diberi kepada ibu-ibu bayi pramatang selepas bersalin berbanding plasebo, tiada intervensi atau pemberian probiotik selepas lahir kepada bayi-bayi pramatang mengurangkan risiko morbiditi dan mortaliti bayi pramatang?

Latar belakang
Keradangan boleh menyumbang kepada kelahiran pramatang dan morbiditi bayi pramatang. Bayi pramatang berisiko untuk perubahan dalam pertumbuhan bakteria "baik" yang normal dalam saluran usus mereka. Probiotik adalah penambahan "bakteria baik". Pemberian bakteria ini secara langsung kepada bayi pramatang boleh mengurangkan keradangan dan mengurangkan risiko penyakit gastrousus yang teruk (nekrosis enterokolitis) serta risiko kematian. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan keselamatan tentang pemberian probiotik secara langsung kepada bayi pramatang.

Ciri-ciri kajian
Dua belas kajian dengan jumlah 1450 ibu dan 1204 bayi dimasukkan sehingga Mac 2017. Sebelas kajian memberi probiotik kepada ibu semasa hamil dan satu kajian memberi probiotik kepada ibu selepas kelahiran bayi pramatang mereka. Tiada kajian membandingkan pemberian probiotik ibu secara langsung berbanding pemberian neonatal. Kajian-kajian tentang wanita hamil memfokus kepada pelbagai aspek kajian dengan probiotik yang berbeza yang diberi pada masa-masa yang berlainan. Wanita hamil yang dimasukkan dalam kajian ini adalah keseluruhannya berisiko rendah untuk kelahiran pramatang. Satu kajian di mana ibu-ibu diberi probiotik selepas kelahiran adalah kepada ibu dengan bayi kurang daripada 1500 g semasa lahir.

Keputusan utama
Tiada bukti cukup untuk menyimpulkan sama ada terdapat manfaat atau mudarat kepada neonat dengan penambahan probiotik oral kepada wanita hamil yang berisiko rendah untuk kelahiran pramasa atau penambahan probiotik oral kepada ibu-ibu bayi yang lahir pramasa selepas bersalin. Tiada kajian yang memberi probiotik kepada ibu-ibu yang berisiko tinggi untuk bayi pramatang, jadi kesan probiotik kepada ibu-ibu tersebut tidak diketahui. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui jika probiotik yang diberi kepada ibu-ibu bayi pramasa mengurangkan kematian, nekrosis enterokolitis, atau lain-lain masalah berkaitan dengan pramatang.

Kualiti bukti
Secara umum, bukti adalah berkualiti rendah dan sangat rendah kerana ketidaktepatan (saiz sampel kecil) dan tidak langsung (ibu-ibu yang didaftar tidak semestinya berisiko tinggi untuk melahirkan bayi mereka lebih awal).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Besar Pulau Pinang). Disunting oleh Noorlliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi amandayapqy@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save