Intervensi e-kesihatan untuk menangani perasaan risau dan kemurungan dikalangan kanak-kanak dan remaja yang menghidapi masalah kesihatan fizikal jangka panjang

Mengapakah ulasan ini penting?

Lebih daripada satu daripada sepuluh kanak-kanak dan remaja di serata dunia menghidap masalah kesihatan fizikal jangka panjang, seperti asma, kencing manis, dan kanser. Mereka mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk mengalami masalah psikologi, termasuk kerisauan ataupun kemurungan. Rawatan awal bagi menangani masalah sedemikian boleh mencegah terjadinya kesukaran pergaulan dengan kawan, kehidupan berkeluarga, persekolahan, dan masalah kesihatan mental pada masa hadapan. Penilaian terapi yang disampaikan secara tradisional secara bersemuka boleh menjadi sukar, kerana bilangan perkhidmatan yang terhad. Dengan kemudahan teknologi, dan terapi kesihatan boleh didapati menggunakan komputer dan telefon mudah alih, intervensi e-kesihatan (yang disampaikan melalui kaedah digital dan pelbagai dari program-program berlandaskan teks mudah sehingga kepada program multimedia dan interaktif, permainan serius, program realiti maya dan biomaklumbalas) mungkin berguna untuk merawat perasaan kerisauan dan kemurungan dikalangan kanak-kanak dan remaja ini.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Ulasan ini akan menarik perhatian ibu-bapa, kanak-kanak dan remaja, pembekal penjagaan kesihatan mental, komisioner perkhidmatan, dan ahli-ahli profesional yang menjaga kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan fizikal jangka panjang.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan untuk menjawab soalan-soalan berikut: 1) Adakah intervensi e-kesihatan lebih baik berbanding dengan kumpulan terapi kesihatan yang terpilih ataupun berada di dalam senarai menunggu untuk berjumpa pakar kesihatan dalam mengurangkan simptom kerisauan dan kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap masalah kesihatan fizikal jangka panjang? dan 2) Adakah intervensi e-kesihatan boleh diterima oleh kanak-kanak dan remaja ini?

Kajian-kajian manakah yang telah dimasukkan di dalam ulasan ini?

Kami mencari pengkalan data rujukan untuk mencari semua kajian rawak terkawal, kajian-kajian rawak kluster, dan kajian-kajian silang intervensi-intervensi e-kesihatan telah diterbitkan antara 1970 dan Ogos 2017 bagi merawat kerisauan atau kemurungan dikalangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap masalah kesihatan fizikal jangka panjang. Kajian perlu berbentuk kajian rawak yang terkawal yang melibatkan kanak-kanak dan orang muda yang mempunyai sama ada simptom ataupun diagnosis kerisauan atau kemurungan. Kami menggunakan lima kajian, yang melibatkan seramai 463 orang muda, di dalam ulasan ini.

Apakah bukti yang diperolehi di dalam ulasan ini?

Kami masukkan lima kajian yang merangkumi tiga intervensi e-kesihatan (Breathe Easier Online, Web-MAP, dan terapi tingkah laku kognitif berbagai cara (CBT)), yang dilakukan oleh kanak-kanak berumur 10 hingga 18 tahun. Walaupun sesetengah intervensi ini boleh diterima pakai oleh pengguna, tidak ada satupun yang jelas lebih baik dari dengan kumpulan terapi kesihatan yang terpilih ataupun berada di dalam senarai menunggu untuk berjumpa pakar kesihatan dalam mengurangkan simptom kerisauan dan kemurungan. Bukti kualiti yang sangat rendah bermakna kesan-kesan intervensi e-kesihatan tidak dapat dipastikan pada masa ini, terutamanya di kalangan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Para pengarang ulasan ini memberikan penilaian bahawa risiko bias di dalam kajian ini sebagai tinggi ataupun tidak dapat dipastikan.

Apakah yang harus dilakukan selepas ini?

Penyelidikan dengan lebih lanjut perlu dijalankan untuk mengadakan intervensi e-kesihatan yang lebih berkesan bagi merawat kerisauan dan kemurungan dikalangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap masalah kesihatan fizikal jangka panjang

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). DIsunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.)

Tools
Information