Terapi psikologi bagi menangani kebimbangan dan kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan fizikal untuk jangka masa yang panjang.

Mengapakah ulasan ini penting?

Lebih daripada satu dalam setiap sepuluh orang kanak-kanak dan remaja menghidapi masalah kesihatan fizikal jangka panjang seperti asma, diabetes dan kanser. Mereka ini berkemungkinan tinggi untuk mendapat masalah psikologi seperti kebimbangan atau kemurungan. Rawatan awal bagi menangani masalah di atas boleh mencegah terjadinya kesukaran dalam kehidupan berkeluarga, persekolahan, dan masalah kesihatan mental di masa hadapan. Pada masa kini, masih belum jelas sama ada terapi psikologi (terapi percakapan) yang direka untuk kanak-kanak dan remaja yang tiada isu kesihatan sesuai digunakan untuk populasi ini.

Siapakah yang akan berminat mengenai ulasan ini?

Ulasan ini penting kepada kakitangan kesihatan mental dan perubatan, pesakit yang berkenaan dan pihak yang menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Apakah soalan yang akan dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan untuk menjawab persoalan berikut: 1. Adakah terapi psikologi lebih baik daripada pelbagai jenis terapi yang lain di dalam mengurangkan simptom kebimbangan dan kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan fizikal jangka panjang? dan 2. Adakah terapi psikologi boleh diterima oleh mereka?

Kajian-kajian manakah yang dimasukkan di dalam ulasan ini?

Kami telah membuat pencarian ke atas pengkalan-pengkalan data untuk mencari kesemua kajian yang berkualiti tinggi bagi terapi psikologi untuk kebimbangan atau kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang berumur 18 tahun dan ke bawah yang mengalami masaalah fizikal jangka panjang dan simptom kebimbangan atau kemurungan, yang diterbitkan di antara 1970 hingga September 2018. Kami memasukkan 29 kajian dengan jumlah 1349 peserta di dalam ulasan dan menilai kualiti keseluruhan kajian-kajian sebagai ‘rendah kepada sederhana’.

Apakah informasi yang diperolehi daripada bukti-bukti dalam ulasan ini?

Sebilangan besar terapi psikologi telah dikaji ke atas kanak-kanak dan remaja yang mengalami masaalah fizikal jangka panjang. Kebanyakan terapi ini direka untuk kegunaan kanak-kanak dan remaja yang tidak mempunyai masalah fizikal jangka panjang. Sesetengah terapi ini, terutamanya yang berasaskan prinsip terapi tingkah laku kognitif dan terapi yang direka khusus untuk merawat kebimbangan melampau atau kemurungan, berkesan dalam mengurangkan simptom-simptom ringan bagi keadaan tersebut untuk jangka masa pendek. Terdapat bukti yang terhad bahawa terapi ini diterima oleh golongan muda dan terapi ini boleh meningkatkan kualiti hidup dan simptom masalah fizikal jangka panjang. Buat masa ini masih terdapat kekurangan terapi bagi menangani masalah kebimbangan berkaitan dengan kesihatan di dalam populasi ini.

Apakah yang harus dilakukan selepas ini?

Kajian lanjut harus dijalankan bagi melahirkan terapi psikologi yang lebih efektif untuk merawat kebimbangan dan kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah fizikal jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebaran pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi intanj@usm.my.

Tools
Information