Probiotik untuk mencegah kolik infantil (sakit perut berulang dikalangan bayi)

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan bertujuan untuk menilai jika probiotik yang diberi kepada bayi yang sihat boleh mencegah kolik infantil, dan adakah ianya selamat.

Mesej-mesej utama

Walaupun probiotik memberi sedikit atau tidak ada perbezaan kepada kejadian kolik infantil, ianya mungkin mengurangkan masa tangisan dan tidak ada masalah tentang keselamatan. Kami masih memerlukan tambahan penyelidikan untuk menilai jika permulaan kejadian kolik dapat dikurangkan.

Apakah kajian ulasan ini?

Kolik infantil menjejaskan kehidupan sebilangan besar bayi dan keluarga mereka di serata dunia. Kolik infantil merupakan masalah yang cirinya adalah episod tangisan yang tidak dapat dipujuk lebih dari tiga jam sehari, berlaku lebih dari tiga hari dalam satu minggu dan berterusan selama tidak kurang tiga minggu.

Probiotik merupakan bakteria hidup yang, bilamana diambil, boleh memberi manfaat kepada pesakit. Probiotik murah dan mudah diperolehi, dan terdapat penyelidikan terkini yang mengkaji penggunaannya untuk masalah ini.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini melibatkan enam kajian. Bayi dalam kumpulan probiotik telah diberikan jenis probiotik yang berbeza, dan dalam dos yang berbeza, dan dibandingkan kepada bayi yang diberi plasebo (bukan ubat).

Ulasan mendapati, berbanding kepada plasebo, probiotik memberikan sedikit atau tidak ada perbezaan kepada kejadian kolik infantil, tetapi nampak seperti dapat mengurangkan tempoh tangisan. Tiada perbezaan dalam pelaporan kesan-kesan sampingan, dengan hanya empat kejadian serius telah dilaporkan dalam satu kajian yang besar, dan ianya secara klinikal tidak mungkin berkait dengan pengambilan mana-mana produk kajian (plasebo atau probiotik).

Setakat manakah kemas kini ulasan ini?

Kami mencari kajian yang telah mempunyai penerbitan sehingga Januari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information