Intervensi berperantara-pesakit untuk memperbaiki amalan profesional

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat kami dengan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai sama ada pesakit boleh mengubah prestasi profesional penjagaan kesihatan. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 25 kajian.

Mesej utama

Ulasan ini menunjukkan bahawa pesakit boleh menukar amalan profesional penjagaan kesihatan dengan tiga strategi berikut: 1) strategi-strategi di mana pesakit memberi maklumat kepada profesional penjagaan kesihatan tentang diri mereka; 2) strategi-strategi di mana pesakit diberi maklumat penjagaan kesihatan; dan 3) strategi-strategi di mana pesakit mengambil bahagian dalam pendidikan pesakit. Alat bantuan keputusan pesakit boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada amalan profesional penjagaan kesihatan, namun kepastiannya adalah rendah, dan keputusan-keputusan ini harus ditafsir dengan teliti. Kami masih memerlukan lebih banyak penyelidikan mengenai cara terbaik di mana pesakit boleh mengubah amalan profesional dan mengenai impaknya terhadap kesihatan pesakit.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Banyak strategi telah diuji untuk melihat jika ia boleh meningkatkan amalan profesional penjagaan kesihatan dan memastikan pesakit menerima penjagaan yang terbaik. Strateg-strategii ini termasuklah menghantar peringatan kepada profesional penjagaan kesihatan, memberi mereka pendidikan lebih lanjut, atau memberi mereka ganjaran kewangan. Kebanyakkan strategi-strategi ini hanya mempunyai kesan kecil atau sederhana. Satu lagi cara untuk menukar apa yang dilakukan oleh profesional penjagaan kesihatan adalah melalui pesakit itu sendiri. Strategi-strategi ini dipanggil 'intervensi-intervensi berperantara- pesakit'.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kajian-kajian dalam ulasan ini menilai pelbagai strategi-strategi berperantara-pesakit berbanding penjagaan biasa atau tiada strategi.

Strategi-strategi di mana pesakit memberi maklumat kepada profesional penjagaan kesihatan

Di dalam kajian-kajian ini, pesakit memberikan maklumat tentang kesihatan, kebimbangan atau keperluan mereka sendiri kepada doktor. Ini biasanya dilakukan dengan mengisi borang soal selidik di ruang menunggu sebelum perundingan. Doktor kemudian diberi maklumat ini sebelum atau semasa perundingan. Ulasan menunjukkan bahawa strategi-strategi ini:

- mungkin meningkatkan sejauh mana profesional penjagaan kesihatan mengikuti amalan klinikal yang disyorkan (bukti kepastian sederhana).

Kami tidak pasti mengenai kesan strategi-strategi ini terhadap kesihatan pesakit, kepuasan pesakit dan penggunaan sumber kerana hasil ini tidak diukur di dalam kajian-kajian atau kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.

Strategi-strategi di mana maklumat diberikan kepada pesakit

Di dalam kajian-kajian ini, pesakit diberi maklumat mengenai penjagaan yang disyorkan atau diingatkan untuk menggunakan perkhidmatan, contohnya untuk mendapatkan pemeriksaan. Ulasan menunjukkan bahawa strategi-strategi ini:

- boleh memperbaiki sejauh mana profesional penjagaan kesihatan mengikuti amalan klinikal yang disyorkan (bukti kepastian rendah);

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kepuasan pesakit (bukti kepastian rendah);

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada beberapa hasil kesihatan pesakit, seperti bilangan pesakit yang mencapai tekanan darah terkawal (bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan strategi ini terhadap hasil lain kesihatan pesakit kerana bukti kepastian adalah sangat rendah. Kami juga kurang maklumat untuk membuat kesimpulan mengenai penggunaan sumber.

Strategi-strategi pendidikan pesakit

Di dalam kajian-kajian ini, pesakit mengambil bahagian dalam pendidikan pesakit seperti program pengurusan diri, misalnya untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang keadaan mereka. Ulasan menunjukkan bahawa strategi-strategi ini:

- mungkin meningkatkan sejauh mana profesional penjagaan kesihatan mengikuti amalan klinikal yang disyorkan (bukti kepastian sederhana);

- boleh sedikit memperbaiki beberapa hasil kesihatan pesakit seperti jumlah pesakit yang mencapai tekanan darah terkawal (bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan strategi ini terhadap hasil lain kesihatan pesakit, kepuasan pesakit dan penggunaan sumber kerana hasil ini tidak diukur dalam kajian yang dimasukkan.

Strategi-strategi alat bantuan keputusan pesakit

Di dalam satu kajian yang menilai kesan alat bantuan keputusan pesakit, pesakit diberi alat bantuan keputusan yang terdiri daripada buku kecil, lembaran kerja peribadi dan pita audio untuk membuat keputusan tentang pengurusan perubatan mereka. Ulasan menunjukkan bahawa strategi-strategi ini:

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap sejauh mana profesional penjagaan kesihatan mengikuti amalan klinikal yang disyorkan (bukti kepastian rendah)

Kami tidak pasti mengenai kesan strategi-strategi ini terhadap kesihatan pesakit, kepuasan pesakit dan penggunaan sumber kerana hasil ini tidak diukur di dalam kajian-kajian atau kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian sehingga Mac 2018 dan kajian yang sedang dilaksanakan sehingga Oktober 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kole Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information