Intervensi untuk mencegah serangan asma pada kanak-kanak apabila kembali ke sekolah pada musim luruh

Latar belakang

Asma adalah keadaan jangka panjang yang memberi kesan kepada paru-paru. Ia adalah keadaan jangka panjang yang paling biasa boleh menjejaskan kanak-kanak. Satu daripada 11 kanak-kanak di United Kingdom mempunyai asma. Orang yang mengalami asma boleh mengalami simtom serangan batuk, pernafasan berbunyi, dan kesukaran bernafas.

Setiap tahun terdapat serangan asma yang memuncak selepas sekolah bermula semula pada musim luruh. Kemungkinan puncanya adalah kerana pendedahan kanak-kanak tersebut kepada lebih banyak virus yang boleh mencetuskan asma. Kanak-kanak juga mungkin telah mengambil ubat biasa mereka secara tidak konsisten ketika rehat rutin sepanjang musim panas.

Disebabkan oleh peningkatan serangan pada permulaan tahun sekolah boleh diramal, dan sebabnya agak difahami, ia mungkin dapat dicegah. Pendekatan untuk mengurangkan serangan asma musim luruh termasuk menggunakan ubat tambahan apabila sekolah dimulakan semula atau peringatan ubat semasa cuti sekolah.

Keputusan-keputusan utama

Carian kami mendapati 546 kajian di mana lima daripadanya adalah yang berkaitan. Secara keseluruhan, 14,252 kanak-kanak secara rawak ditugaskan untuk menerima sama ada intervensi yang mensasarkan serangan asma musim luruh atau penjagaan biasa. Empat kajian kecil (kira-kira 200 hingga 1200 kanak-kanak pada setiapnya) memberikan ubat tambahan asma kanak-kanak; ubat tambahan ini adalah omalizumab, tablet antagonis reseptor leukotriena, atau peningkatan dos steroid yang disedut. Satu kajian menghantar surat peringatan ubat sepanjang cuti musim panas kepada ibu bapa kanak-kanak dengan asma.

Satu kajian memberi kanak-kanak sama ada omalizumab atau plasebo. Omalizumab adalah antibodi yang direka untuk mengubah tindak balas imun. Ia diberikan secara suntikan secara berkala selama empat hingga enam minggu sebelum balik ke sekolah (iaitu lebih banyak daripada cuti musim panas). Kanak-kanak dalam kajian ini telah disahkan menghidapi asma alahan. Kajian menunjukkan bahawa omalizumab mungkin mengurangkan serangan asma di musim luruh. Sebelas peratus daripada mereka yang menerima omalizumab mempunyai serangan asma pada 90 hari pertama berbanding 21% daripada mereka yang menerima plasebo.

Tiga kajian menggunakan tablet antagonis reseptor leukotriena, sama ada montelukast atau pranlukast. Walaupun keputusan satu kajian mencadangkan montelukast bermusim mungkin mengurangkan serangan musim luruh, tiada bukti serangan yang berkurang dalam dua lagi kajian yang kemudian, termasuk kajian montelukast kedua yang lebih besar.

Tiada bukti menunjukan menghantar surat peringatan boleh mengurangkan jumlah kanak-kanak yang memerlukan penjagaan kesihatan yang tidak dirancang.

Tiada kajian membuktikan bahawa jumlah kanak-kanak yang mengalami komplikasi berulang adalah lebih besar dalam intervensi berbanding dengan kumpulan penjagaan biasa.

Batasan-batasan

Penemuan kami dibatasi kerana sejumlah kecil kajian yang dikenal pasti dan kajian ini menggunakan intervensi dan definisi yang berbeza mengenai masalah asma. Kajian lanjut diperlukan untuk lebih memahami cara mencegah serangan bermusim, termasuk intervensi yang sesuai untuk kanak-kanak dengan asma ringan, di mana rawatan yang mahal dan menyakitkan tidak digalakkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save