Hospitalisasi di unit tinggal sementara bagi orang dewasa dengan penyakit dan keadaan perubatan dalaman

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk mengetahui sama ada tinggal sementara di hospital di unit tinggal sementara memperbaiki hasil dalam kalangan orang dewasa dengan penyakit dan keadaan perubatan dalaman berbanding penjagaan biasa.

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti mengenai kesan hospitalisasi di unit tinggal sementara bagi orang dewasa dengan penyakit dan keadaan perubatan dalaman berbanding penjagaan biasa. Bukti adalah tidak pasti kerana beberapa alasan penting; termasuk tidak mempunyai cukup data, perbezaan dalam kalangan peserta dan ko-intervensi, dan masalah dengan kaedah yang diguna oleh kajian yang boleh menyebabkan keputusan palsu. Kami memerlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi untuk menguji impak hospitalisasi unit tinggal sementara terhadap pesakit dan kos individu.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Unit tinggal sementara adalah unit hospital yang menyediakan penjagaan jangka pendek kepada pesakit-pesakit terpilih. Perkhidmatannya sering ditakrifkan oleh jenis pesakit, fungsi unit, dan kerangka waktu. Kajian-kajian menunjukkan unit-unit tinggal sementara boleh mengurangkan bilangan orang yang dimasukkan ke hospital, tempoh masa yang mereka habiskan di hospital, bilangan orang yang perlu kembali ke hospital (kemasukan semula), dan kos, tanpa kehilangan sebarang kualiti penjagaan, tetapi penilaian terperinci mengenai kesan hospitalisasi unit tinggal sementara berbanding penjagaan biasa (terutamanya hospitalisasi di wad hospital tradisional) adalah kurang sebelum kami menjalankan ulasan ini. Ulasan ini memfokuskan unit tinggal sementara hospitalisasi bagi penyakit dan keadaan perubatan dalaman, seperti pneumonia atau sakit dada. Kami membandingkan kesan hospitalisasi unit tinggal sementara dengan penjagaan biasa dengan melihat kematian (mortaliti), masalah serius (kesan buruk yang serius), kualiti hidup, aktiviti kehidupan seharian (seperti menguruskan kerja rumah atau ubat-ubatan), kemasukan semula di hospital, kesan buruk yang tidak serius dan kos.

Apakah keputusan utama ulasan?

Penulis ulasan mendapati 14 kajian yang relevan dengan sejumlah 2872 peserta. Semua kajian adalah kajian rawak, iaitu orang-orang yang terlibat dalam kajian telah diletakkan secara kebetulan untuk sama ada dimasukkan ke unit tinggal sementara di hospital atau kumpulan kawalan yang menerima penjagaan biasa. Kajian rawak dianggap sebagai reka bentuk kajian yang paling dipercayai untuk menguji kesan intervensi.

Tiga belas kajian menilai hospitalisasi tinggal sementara untuk enam keadaan tertentu (asma, fibrilasi atrial (degupan jantung tidak teratur), sakit dada, kegagalan jantung dekompensasi (tanda-tanda yang semakin buruk), sinkope (hilang kesedaran akibat penurunan tekanan darah), dan serangan iskemia transien (strok mini) dan satu kajian tidak menyatakan keadaan para peserta. Kami mengenalpasti satu kajian yang sedang dilaksanakan. Komponen unit hospitalisasi tinggal sementara berbeza di antara kajian-kajian bergantung kepada keadaan peserta kajian. Semua kajian yang disertakan bermasalah dengan kaedah perlaksanaan yang berpotensi menyebabkan keputusan palsu. Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan di antara hospitalisasi unit tinggal sementara dan penjagaan biasa untuk mengurangkan mortaliti, kejadian buruk yang serius, dan kemasukan semula ke hospital. Kami tidak dapat menggabungkan dan menilai keputusan untuk sebarang hasil lain, kerana kajian-kajian menggunakan cara yang berbeza untuk mengukur (misalnya menggunakan pelbagai skala), atau tidak memberi cukup data, atau melaporkan keputusan dengan cara yang tidak dapat digunakan. Kajian-kajian individu menyatakan bahawa hospitalisasi unit tinggal sementara membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik, kurang kesan buruk yang serius, dan kos yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, kita tidak pasti tentang bukti ini dan perlu berhati-hati untuk mentafsirkan hasil kajian-kajian; semua kajian yang dimasukkan berisiko tinggi untuk ralat, yang mempersoalkan kesahihan keputusan-keputusan ini dan kami tidak dapat menolak bahawa penemuan adalah semata-mata disebabkan oleh "play of chance". Adalah penting untuk mengesahkan penemuan dalam kajian-kajian yang lebih besar dan dilaksanakan dengan baik.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sebelum 13 Disember 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information