Adakah terapi psikologi berkesan dalam merawat kemurungan para pesakit yang mempunyai COPD?

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) merangkumi dua penyakit: emfisema dan bronkitis kronik. Ianya telah dikenali sebagai masalah kesihatan yang serius dan salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa bilangan pesakit COPD semakin meningkat, dan pada 2030, COPD akan menjadi penyebab ketiga kematian di dunia. Kebanyakan pesakit COPD juga mengalami kemurungan. Kajian menunjukkan sehingga 80% pesakit COPD yang serius boleh mempunyai simptom-simptom kemurungan. Penemuan lain menunjukkan pesakit COPD adalah empat kali lebih cenderung untuk mengalami kemurungan berbanding mereka yang tiada COPD.

Mengapakah ulasan ini penting?

Bilangan orang yang hidup dengan COPD semakin bertambah, bukannya berkurang, di seluruh dunia. kemurungan dalam populasi ini kerap tidak didiagnos, dan pesakit-pesakit jarang menerima rawatan yang sepatutnya. kemurungan yang tidak dirawat meningkatkan risiko kematian, kemasukan ke hospital, kemasukan berulangan, dan kos penjagaan kesihatan. Sehingga kini, tidak terdapat bukti kukuh yang menunjukkan terapi psikologi paling berkesan untuk pesakit-pesakit yang mempunyai COPD dan kemurungan.

Siapa yang akan berminat dengan ulasan ini?

Pesakit yang mempunyai COPD dan kemurungan, doktor perubatan respiratori, pakar kesihatan mental, jururawat respiratori, profesional kesihatan yang lain, dan pembuat polisi kesihatan.

Apakah persoalan yang cuba dijawab dalam ulasan ini?

Terapi psikologi yang mana (jika ada) berkesan bagi mengurangkan simptom kemurungani pesakit yang mempunyai COPD?

Kajian-kajian manakah yang telah dimasukkan dalam ulasan ini?

Ulasan ini telah memasukkan kajian-kajian eksperimen, yang dikenali kajian rawak terkawal (RCTs), dengan peserta yang telah didiagnos mempunyai COPD.

Apakah maklumat yang diperolehi daripada bukti ulasan ini?

Ulasan ini memasukkan 13 kajian berbentuk eksperimen (RCTs) yang melibatkan 1500 peserta. Keputusan utama kami menunjukkan bahawa terapi psikologi menggunakan pendekatan terapi tingkah-laku kognitif (CBT) mungkin, berpotensi, berkesan dalam mengurangkan simptom-simptom kemurungan pesakit yang mempunyai COPD. Bagaimanapun, kualiti bukti adalah sangat rendah kerana banyak batasan berkaitan dengan cara pelaksanaan kajian.

Apakah yang perlu dilakukan seterusnya?

Lebih banyak kajian berbentuk eksperimen dengan bilangan peserta yang lebih ramai diperlukan, untuk mengesahkan kesan-kesan manfaat CBT kepada pesakit yang mempunyai kemurungan yang berkaitan dengan COPD. Kajian-kajian lanjut perlu menghasilkan bukti berkualiti lebih tinggi dan mengukur kesan-kesan yang tidak diingini dan hasil-hasil penting yang lain, seperti kualiti kehidupan atau keberkesanan kos.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information