Terapi-terapi psikologi bagi pengurusan migrain dalam kalangan orang dewasa

Perkara asas

Ketiadaan bukti berkualiti baik yang menunjukkan terapi psikologi adalah berkesan atau bermudarat dalam pengurusan migrain yang kerap sebaik selepas rawatan atau dalam jangka masa panjang.

Latarbelakang

Migrain merupakan satu keadaan sistem saraf yang biasa dan dikaitkan dengan kualiti hidup yang lebih rendah dan kurang keupayaan. Walaupun ubat-ubatan boleh membantu mengurus migrain, ianya tidak berkesan untuk semua individu dan sesetengah individu mengalami kesan sampingan yang negatif (kejadian-kejdian yang tidak diingini). Sejumlah besar terapi psikologi telah dinilai bagi pengurusan migrain dalam kalangan orang dewasa. Terapi psikologi memberikan kemahiran seperti pendidikan, relaksasi, atau strategi daya tindak untuk membantu orang dewasa mengubah tingkah laku mereka atau pemikiran tentang migrain, untuk cuba mengurangkan simptom-simptom berkaitan migrain mereka.

Soalan ulasan

Pengulas menilai intervensi psikologi untuk orang dewasa dengan migrain yang kronik atau episod migrain dengan dan tanpa aura (tanda amaran yang mendahului dan meramalkan migrain). Pengulas membandingkan individu yang menerima terapi psikologi untuk migrain dengan kumpulan 'kawalan'. Kumpulan kawalan termasuk rawatan biasa ('penjagaan standard'), atau menunggu untuk menerima rawatan, atau menerima intervensi jenis lain seperti pendidikan. Pengulas mengekstrak data berkenaan kekerapan migrain (iaitu bilangan hari dengan migrain, atau bilangan migrain, dalam bulan selepas daripada rawatan) sebagai hasil utama mereka. Pengulas juga mengekstrak data berkenaan bilangan yang bergerak balas (mereka yang mengalami pengurangan sebanyak 50% dalam kekerapan migrain), intensiti migrain, tempoh migrain (bilangan jam migrain sehari), penggunaan ubatan migrain, mood, kualiti hidup, dan hilang keupayaan berkaitan migrain. Pengulas merekodkan kejadian yang mudarat (kejadian yang tidak diingini) yang berkaitan dengan rawatan.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari pangkalan data pada Julai 2018 dan menemui 21 kajian yang melibatkan 2482 peserta. Kebanyakan kajian mengkaji salah satu daripada tiga intervensi, iaitu satu bentuk terapi psikologi yang dikenali sebagai terapi tingkahlaku-kognitif (CBT), yang mengajar kemahiran untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku. Kemahiran termasuk strategi daya tindak, atau biomaklumbalas atau relaksasi, yang mengajar orang untuk mengurangkan ketegangan mereka sama ada dengan penumpuan ke atas senaman pengenduran atau melalui alat yang memberikan maklumbalas tentang ketegangan otot atau suhu badan. Rawatan psikologi yang selebihnya telah diperiksa dalam kajian tunggal; mereka memasukkan penulisan mengenai emosi dan desensitisasi pergerakan mata dan ulangan proses, yang menggunakan pergerakan mata untuk membantu orang menerima hakikat kesakitan dan lain-lain pengalaman negatif mereka. Pengulas berminat dalam hasil selepas rawatan dan pada tempoh susulan terpanjang yang ada.

Keputusan-keputusan utama

Pengulas tidak menemui bukti rawatan-rawatan psikologi menghasilkan kekerapan migrain yang berkurangan dalam empat minggu susulan rawatan. Bagaimanapun, pengulas hanya dapat memasukkan empat kajian dalam analisis ini yang berkualiti tidak tinggi . Empat kajian melaporkan perkadaran pesakit yang migrainnya berkurangan dalam kekerapan sebanyak 50% atau lebih, dan di dalam kajian tersebut, mereka yang menerima rawatan psikologi adalah dua kali lebih berkemungkinan untuk respon kepada rawatan ( iaitu pengurangan 50% dalam kekerapan migrain) berbanding dengan mereka di dalam kumpulan kawalan.

Tiada bukti yang rawatan psikologi menjejaskan intensiti migrain, ubatan yang diguna bagi migrain, mood atau kualiti kehidupan. Hanya dua kajian menilai kejadian-kejadian yang tidak diingini, dan yang demikian pengulas tidak dapat membuat kesimpulan.

Pengulas menemui data susulan yang sangat sedikit, dan tiada bukti untuk menyokong atau menafikan apa-apa kesan jangka panjang rawatan psikologi.

Kualiti bukti

Pengulas telah menilai kualiti bukti menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Bukti berkualiti tinggi bermakna mereka sangat yakin dengan keputusannya. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna mereka sangat tidak pasti akan keputusannya. Pengulas menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah.

Kesimpulan

Tiada bukti rawatan-rawatan psikologi memberi kesan kekerapan migrain. Lebih banyak penggerak balas (iaitu mereka yang melaporkan pengurangan sebanyak 50%) menerima rawatan psikologi daripada kawalan, tetapi ini adalah berdasarkan bukti berkualiti sangat rendah dan oleh itu pengulas tidak pasti akan keputusan ini. Dari segi kejadian yang tidak diingini, pengulas tidak dapat membuat kesimpulan kerana bukti yang tidak mencukupi. Terdapat data berjangka panjang yang sangat sedikit, dan tiada indikasi intervensi psikologi mempunyai apa-apa kesan berjangka panjang. Secara keseluruhan ketiadaan bukti berkualiti tinggi bagi kesan rawatan psikologi ke atas migrain oleh itu pengulas tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara terapi psikologi dan kawalan. Pembiayaan kajian berkualiti tinggi diperlukan dan kajian tambahan mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information
Share/Save