Ketorolac untuk kesakitan jangka pendek selepas pembedahan bagi kanak-kanak

Kesimpulannya
Tidak terdapat bukti yang baik dari kajian-kajian untuk menyokong atau menolak cadangan bahawa ketorolac adalah berguna, atau ianya berkait dengan kesan-kesan sampingan yang serius dalam merawat kesakitan kanak-kanak selepas pembedahan.

Latar belakang
Kanak-kanak berisiko mengalami kesakitan dalam jangka masa pendek selepas pembedahan. Ubat anti-radang jenis bukan steroid (NSAIDs, contoh aspirin) boleh mengurangkan kesakitan tahap sederhana hingga teruk tanpa banyak kesan-kesan sampingan yang berkait dengan opioid (ubat seperti morfin). Bagaimanapun, NSAIDs mungkin menyebabkan pendarahan dan kecederaan kepada buah pinggang dan usus. Ketorolac ialah NSAID yang boleh diberikan secara suntikan ke dalam vena, yang mungkin berguna bila pesakit tidak boleh mengambil ubat melalui mulut. Walaupun ketorolac belum diluluskan untuk kegunaan bagi kanak-kanak oleh banyak agensi kerajaan, ianya kerap digunakan selepas pembedahan, kerana kekurangan pilihan alternatif.

Ciri-ciri kajian
Dalam November 2017, kami mencari kajian-kajian klinikal di mana ketorolac telah digunakan untuk merawat kesakitan selepas pembedahan bagi kanak-kanak. Kami menemui 13 kajian, mendaftarkan 920 kanak-kanak, yang telah menemui keperluan kami bagi ulasan ini. Kajian-kajian ini berbeza dalam rekabentuk, dos ketorolac, masa (semasa atau selepas pembedahan) dan bilangan dos yang diberikan, jenis pembedahan, dan kepada apa ketorolac dibandingkan (samada plasebo (rawatan ‘dummy’, contoh beg berisi cecair) atau ubat yang lain).

Penemuan-penemuan utama

Terdapat informasi yang tidak mencukupi untuk menganalisa statistik penilaian yang kami minati, iaitu, bilangan kanak-kanak yang mengalami sekurang-kurangnya 50% kelegaan kesakitan; atau purata keamatan kesakitan (ukuran kesakitan pesakit yang memerlukan pesakit menilai kesakitan yang mereka alami, biasanya pada skala 0 untuk ‘tiada kesakitan’ hingga 10 untuk ‘kesakitan paling teruk yang boleh dibayangkan’). Empat kajian secara tersendiri melaporkan ketorolac lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kesakitan, tetapi kajian adalah kecil dan mempunyai pelbagai isu rekabentuk. Penilaian lain mempunyai informasi yang lebih banyak, contoh bilangan kanak-kanak yang memerlukan ubatan penyelamat (ubatan kesakitan tambahan yang telah diberikan jika ubatan kajian tidak membantu mengurangkan kesakitan pesakit secukupnya), dan berapakah jumlah ubatan penyelamat yang telah digunakan. Kurang kanak-kanak yang memerlukan ubatan penyelamat dalam kumpulan ketorolac berbanding mereka yang menerima plasebo, walaupun keputusannya tidak berbeza secara statistiknya. Dalam masa empat jam selepas mereka menerima ubatan kajian, kanak-kanak yang menerima ketorolac memerlukan ubatan kesakitan penyelamat yang sedikit berbanding mereka yang telah menerima plasebo. Terdapat informasi yang tidak mencukupi mengenai ketorolac berbanding ubatan-ubatan lain.

Juga tidak terdapat informasi yang mencukupi dalam kajian bagi kami untuk membuat penilaian yang baik mengenai kesan-kesan sampingan dan kesan-kesan sampingan yang serius apabila ketorolac digunakan dalam tetapan ini. Kesan-kesan sampingan yang serius dalam mereka yang menerima ketorolac termasuk pendarahan, tetapi ianya tidak berlaku dengan begitu kekerapan bagi kami untuk membuat apa-apa kesimpulan yang kukuh. Hanya sebilangan kecil kanak-kanak yang keluar daripada kajian kerana kesan-kesan sampingan. Ini adalah normal dalam kajian di mana peserta hanya berada dalam kajian bagi tempoh masa yang pendek.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah, disebabkan isu-isu kaedah dengan banyak kajian, perbezaan rekabentuk kajian, dan bilangan penglibatan kanak-kanak yang rendah secara keseluruhannya. Kualiti bukti yang sangat rendah menunjukkan kami sangat tidak pasti tentang hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information