Pencegahan berasaskan keluarga bagi penggunaan alkohol dalam kalangan belia

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan program berasaskan keluarga atau ibubapa sebagai satu cara untuk mencegah atau mengurangkan penggunaan alkohol dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Latar belakang

Alkohol meningkatkan risiko orang muda untuk pelbagai kesan mudarat jangka pendek dan panjang dan menjadi kebimbangan perkhidmatan kesihatan, pembuat polisi, pekerja belia, pengajar, dan ibu bapa.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 46 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan secara rambang kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan intervensi atau kawalan) yang membandingkan intervensi berasaskan keluarga dengan tiada intervensi atau satu komponen remaja sahaja. Kami memasukkan kajian yang mensasarkan populasi umum dengan ibu bapa dan kanak-kanak (intervensi universal), yang mensasarkan ibu bapa kanak-kanak yang lebih berisiko menggunakan alkohol (intervensi selektif), dan kajian yang mensasarkan ibu bapa kanak-kanak yang telah menggunakan alkohol (intervensi indikasi) Kami berminat dalam kajian yang menyusul peserta hingga empat tahun selepas intervensi.

Kebanyakan kajian dijalankan di Amerika Syarikat atau di negara Europah (Netherlands, Sweden, Poland, dan Jerman). Satu kajian telah dijalankan di India. Intervensi diberi dalam pelbagai persekitaran termasuk sekolah atau rumah keluarga dan melalui internet atau bahan cetak. Intervensi adalah pelbagai dalam intensiti, tempoh, dan pendekatan, tetapi semua mensasarkan penggunaan alkohol atau dadah lain dengan menggalakkan pendekatan keibubapaan positif atau meningkatkan hubungan ibu bapa-anak. Intervensi fokus kepada komunikasi, dinamik keluarga, penetapan peraturan, dan pengurusan risiko.

Jumlah peserta kajian yang dimasukkan adalah 39,822, dan orang muda yang disasarkan berumur dari 5 hingga 17 tahun. Etnisiti peserta adalah bercampur, dengan 12 kajian mensasarkan kumpulan etnik minoriti secara spesifik.

Keputusan-keputusan utama

Secara keseluruhan, kami mendapati tiada bukti bagi keberkesanan intervensi berasaskan keluarga ke atas prevalen, frekuensi, atau isipadu penggunaan alkohol dalam kalangan orang muda. Sesetengah analisis yang memfokuskan kajian subkumpulan spesifik (contohnya, hanya memasukkan intervensi universal, mensasarkan kumpulan minoriti etnik) menunjukkan kesan intervensi yang kecil, tetapi memandangkan variasi dalam keputusan, variasi antara kajian, dan kualiti bukti keseluruhan yang rendah, kami tidak pasti sama ada intervensi tersebut mempunyai kesan positif ke atas penggunaan alkohol orang muda. Sesetengah kajian melaporkan kesan intervensi positif ke atas hasil sekunder (bekalan alkohol ibu bapa, penglibatan keluarga, penyalahgunaan alkohol, dan pergantungan alkohol) tetapi dengan bilangan kecil; kajian tersebut tidak boleh digabungkan, jadi bukti adalah tidak mencukupi. Tiada kesan buruk dilaporkan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, hanya bukti berkualiti sangat rendah atau rendah menunjukkan kesan yang kecil dalam ulasan ini, Kebanyakan kajian tidak menerangkan bagaimana keluarga/orang muda/ibu bapa diperuntukkan kedalam kumpulan-kumpulan kajian atau bagaimana mereka menyembunyikan peruntukan kumpulan dari peserta dan kakitangan. Kami menurunkan gred kualiti bukti akibat keheterogenan (kepelbagaian) antara kajian-kajian dan ketidaktepatan (variasi) dalam keputusan. Masalah dengan kualiti kajian boleh menyebabkan anggaran kesan intervensi melambung, oleh itu kami tidak boleh menolak kemungkinan kesan kecil yang diperhatikan dalam ulasan ini terlebih catat.

Institut Kebangsaan Kesihatan AS (NIH) dan Institut Kebangsaan Salahguna Alkohol and Alcoholisme (NIAAA), Penyalahgunaan Dadah (NIDA), dan Kesihatan Mental menyediakan dana untuk lebih dari separuh (28/46) kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini. Tiga kajian tidak memberi maklumat tentang dana, dan hanya 13 kertas mempunyai kenyataan konflik kepentingan yang jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information