Latihan kognitif berkomputer bagi mencegah demensia dalam kalangan mereka yang mempunyai gangguan kognitif sederhana

Latarbelakang

Istilah ‘kognisi’ dan ‘fungsi kognitif’ merujuk kepada semua aktiviti mental yang berkait dengan pemikiran, pembelajaran, ingatan, dan berkomunikasi. Terdapat perubahan normal dalam kognisi dengan peningkatan umur. Terdapat juga penyakit yang menjejaskan kognisi, terutamanya demensia, di mana kognisi terencat sehingga menjejaskan kebolehan seseorang untuk melakukan aktiviti harian. Lebih lazim dari demensia ialah keadaan yang dikenali sebagai kerencatan kognitif sederhana (MCI), di mana kerencatan kognisi sederhana ini adalah kerencatan yang tidak disebabkan oleh umur sahaja, ianya boleh dikesan dengan ujian, tetapi fungsi harian kebanyakannya tidak terjejas. Bagi sesetengah orang, MCI merupakan langkah ke arah pembentukan demensia. Terdapat minat yang banyak dalam apa-apa kajian yang mungkin boleh mencegah penurunan terus kognisi dalam kalangan mereka yang mempunyai MCI. Satu perkara yang telah dicadangkan sebagai langkah pencegahan ialah dengan melakukan latihan kognitif berkomputer (CCT). Latihan kognitif merangkumi satu set kerja standard yang bertujuan memberi ‘senaman otak’ dengan berbagai cara. Terkini, program latihan kognitif kerapnya disampaikan melalui komputer atau teknologi telefon, supaya mereka boleh melakukan latihan ini secara sendiri di rumah. Kami ingin mengetahui sama ada CCT merupakan cara yang berkesan bagi mereka yang mempunyai MCI untuk mengekalkan fungsi kognitif dan mengurangkan risiko mereka untuk mendapat demensia.

Apa yang telah kami lakukan

Kami melakukan pencarian literatur perubatan sehingga 15 Mac 2018 bagi kajian-kajian di mana sekumpulan pesakit yang mempunyai MCI telah mengambil bahagian dalam CCT untuk sekurang-kurangnya 12 minggu dan dibandingkan dengan kumpulan yang lain yang tidak menerima sebarang CCT. Kumpulan kawalan ini mungkin telah mengambil bahagian dalam aktiviti alternatif lain, atau ahli-ahli kumpulan mungkin tidak menerima sebarang intervensi. Supaya perbandingan menjadi seadil mungkin, pembahagian kumpulan diputuskan secara rawak sama ada mereka ditempatkan dalam kumpulan CCT atau kawalan. Kami berminat untuk mengetahui sama ada peserta kajian mendapat demensia, apa fungsi kognitif keseluruhan mereka, dan kami juga mencari bukti ke atas kemahiran kognitif tertentu, aktiviti harian, kualiti kehidupan, perasaan, atau kesihatan mental, dan sebarang kesan bahaya.

Apa yang kami temui

Kami menemui lapan kajian dengan 660 peserta untuk dimasukkan ke dalam ulasan. Tujuh dari kajian (623 peserta) telah membandingkan CCT kepada aktiviti alternatif. Tidak ada kajian yang dimasukkan mengkaji terjadinya demensia, oleh yang demikian ulasan ini tiada bukti sama ada mengambil bahagian dalam latihan kognitif berkomputer akan membantu mencegah demensia atau tidak. Penemuan utama kami adalah semua hasil kognitif lain yang berkaitan dan kami dapati kualiti bukti keseluruhan adalah sangat rendah. Kualiti yang sangat rendah ini disebabkan oleh saiz sampel yang kecil, masalah dengan kaedah kajian, dan perbezaan diantara kajian. Disebabkan oleh perkara yang disebut tadi, walaupun kami menemui beberapa bukti bagi sebilangan kecil faedah CCT untuk kognisi, kami sangat tidak yakin dengan hasil kajian dan berpendapat penyelidikan masa hadapan mungkin membawa hasil yang berbeza.

Kesimpulan kami

Malangnya, persoalan ulasan kami tidak dapat dijawab dengan sebarang kepastian. Kami berpendapat ianya kekal sebagai bahagian yang penting untuk kajian lebih lanjut. Kami ingin melihat kajian yang lebih besar, yang lebih berupaya untuk mengesan kesan-kesan CCT, dan kajian-kajian dengan tempoh yang lebih panjang,bagi menunjukkan sama ada adakah terdapat sebarang faedah, manfaat berkekalan, dan samada terdapat peluang pencegahan atau melambatkan pembentukan demensia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save