Teknik dan bahan untuk impresi akhir apabila membuat gigi palsu penuh dan separa

Soalan ulasan

Dalam ulasan ini yang dijalankan melalui Kesihatan Oral Cochrane, matlamat kami adalah untuk menilai teknik dan bahan mana yang sepatutnya digunakan untuk impresi akhir dalam pembuatan gigi palsu penuh dan separa, untuk meningkatkan kualiti gigi palsu, dan menambahbaik kualiti hidup berkaitan kesihatan oral untuk seseorang individu.

Latar belakang

Adalah perkara biasa bagi golongan orang tua untuk hilang sebahagian, mahupun kesemua gigi mereka (edentulism). Ini memberikan kesan yang ketara terhadap kualiti hidup mereka. Terdapat beberapa langkah untuk membuat gigi palsu penuh dan separa. Impresi akhir adalah langkah yang paling penting untuk memastikan kualiti gigi palsu dari segi kepuasan, keselesaan, kestabilan gigi palsu, dan kebolehan mengunyah Terdapat beberapa teknik dan bahan yang berbeza digunakan untuk pembuatan impresi akhir gigi palsu penuh atau separa Tiada kesepakatan dalam menentukan teknik atau bahan mana yang terbaik.

Ciri-ciri kajian

Bukti dalam kajian ini adalah terkini sehingga 22 November 2017. Kami mendapati lapan kajian dengan jumlah seramai 485 peserta kajian untuk gigi palsu penuh, dan satu kajian dengan 72 orang peserta untuk gigi palsu separa. Peserta kajian berumur antara 45 ke 75 tahun, dan tidak mempunyai gigi sejak 10 ke 35 tahun sebelumnya. Kajian-kajian ini membandingkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat impresi akhir gigi palsu (alginat, zink oksida eugenol, lilin dan silikon tambahan, polisulfat atau polieter) dan pelbagai teknik untuk membuat impresi akhir (mulut terbuka berbanding dengan mulut tertutup, satu peringkat berbanding dengan dua peringkat-dua langkah) atau kedua-duanya.

Keputusan utama

Untuk kebanyakan perbandingan dan hasil, tiada bukti jelas yang menunjukkan perbezaan dalam teknik mahupun bahan yang digunakan.

Satu kajian (10 peserta) yang mempunyai kualiti bukti yang sangat rendah mencadangkan pembuatan gigi palsu dengan prostetik biofungsi elastomer silikon tambahan memerlukan pelarasan yang sedikit berbanding kaedah konvensional.

Kajian lain (144 peserta) yang mempunyai kualiti bukti yang rendah mencadangkan gigi palsu penuh yang dibuat dengan elastomer silikon menggunakan teknik 2 peringkat-2 langkah impresi akhir, mungkin lebih baik daripada gigi palsu yang dibuat dengan alginat, dari segi kualiti hidup berkaitan kesihatan oral, kestabilan gigi palsu dan kebolehan mengunyah.

Dengan bukti terhad yang sedia ada, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai teknik dan bahan terbaik untuk gigi palsu penuh dan separa. Terdapat keperluan untuk penyelidikan lanjutan dalam bidang ini.

Kualiti bukti

Keseluruhannya kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah. Hanya satu atau dua kajian yang menilai setiap intervensi dan perbandingan, dan kebanyakan kajian mempunyai risiko bias yang tinggi Kebanyakan kajian tidak mengukur hasil utama kami. Untuk kedua-dua gigi palsu penuh dan separa, kami menyimpulkan bahawa kami tidak mempunyai penemuan yang boleh dipercayai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Ayuni Ahmad Shafiai (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM). Disunting oleh Azlan Husin, USM azlanh@usm.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorayuni@usm.my

Tools
Information