'Pembersihan' semasa pembedahan untuk pencegahan jangkitan di tempat pembedahan

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada lavaj intrarongga dan pengairan luka (membasuh luka semasa pembedahan) boleh membantu mencegah jangkitan di tempat pembedahan (SSI). Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab soalan ini dan mendapati 59 kajian yang relevan.

Mesej utama

Kepastian semua bukti yang kami kumpul tentang kesan membasuh luka pada SSI adalah rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh masalah cara keputusan-keputusan dilaporkan, beberapa saiz sampel yang kecil dan kebimbangan bahawa tidak semua bukti yang relevan telah diterbitkan. Ini bermakna kesan sebenar rawatan mungkin berbeza dengan keputusan kami. Mencuci luka pembedahan mungkin tidak memberi perbezaan yang jelas kepada kadar SSI berbanding dengan tidak mencuci. Menggunakan cecair antibakteria untuk membasuh luka dapat mengurangkan kadar jangkitan berbanding dengan produk bukan antibakteria. Mengepam cecair cucian ke dalam luka boleh mengurangkan jangkitan berbanding kaedah pencucian lain. Kesan sampingan tidak dilaporkan dengan baik.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Jangkitan luka sering boleh terjadi selepas pembedahan. Ia boleh menghalang luka dari sembuh dan boleh membawa kepada jangkitan yang merebak melalui badan. Orang dengan SSI menghabiskan masa lebih lama di hospital dan lebih cenderung memerlukan operasi ulangan. Teknik yang diguna untuk mengurangkan risiko jangkitan termasuklah lavaj intrarongga atau pengairan luka (mencuci luka semasa pembedahan menggunakan air atau cecair berubat). Kami ingin tahu sama ada kadar SSI dikurangkan, dan memperbaiki penyembuhan luka. Kami juga ingin tahu tentang kesan serius seperti jangkitan teruk yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik, abses, dan tempoh tinggal di hospital yang panjang.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati 59 kajian melibatkan 14,738 peserta (kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak). Sesetengah kajian hanya mendaftarkan wanita kerana jenis pembedahan (seperti pembedahan caesarean). Kajian-kajian membandingkan pembasuhan luka tanpa rawatan, cecair pencuci antibakteria dan bukan antibakteria, dan pelbagai kaedah cucian. Masa susulan bermula dari beberapa hari hingga beberapa bulan tetapi kebanyakannya adalah antara dua dan lapan minggu. Kebanyakan kajian tidak menyatakan cara mereka dibiaya, tetapi apabila pembiayaan dilaporkan, kebanyakannya bukan komersil.

Dua puluh kajian melibatkan 7192 peserta membandingkan pencucian dengan tiada pencucian. Keputusan tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dalam kadar SSI (bukti kepastian rendah). Cecair pencuci antibakteria boleh mengurangkan kadar jangkitan berbanding dengan cecair bukan antibakteria (bukti kepastian rendah daripada 36 kajian yang melibatkan 6163 peserta). Dua kajian melibatkan 484 peserta membandingkan kaedah pencucian piawai (menuangkan menggunakan jag atau jarum suntikan) dengan mengepam atau mendenyutkan cecair pencuci. Mungkin terdapat kurang SSI apabila cecair dipam ke dalam luka (bukti kepastian rendah). Mungkin terdapat kurang SSI apabila cecair iodine povidone diguna berbanding dengan antiseptik alternatif (air 'superoxidise', Dermacyn) (bukti kepastian rendah dari 1 kajian dengan 190 peserta). Keputusan untuk semua perbandingan lain tidak menunjukkan perbezaan yang jelas atau sangat tidak pasti. Pembukaan semula luka (dehiscence), jangkitan, yang sukar dirawat dengan antibiotik, dan kematian tidak dilaporkan secara meluas. Mencuci luka mungkin tidak menjejaskan tempoh masa orang tinggal di hospital (bukti kepastian rendah atau sederhana).

Adakah ulasan ini terkini?

Penyelidik telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga ke Februari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save