Keburukan dan kebaikan membubarkan bekuan darah di dalam saluran darah dalam bahagian lengan

Latar belakang

Darah beku yang terbentuk dalam saluran darah dalam bahagian lengan, yang menghalang saluran darah, adalah dikenali sebagai trombosis vena dalam akut bahagian lengan. Dalam kalangan populasi umum, trombosis vena dalam akut bahagian lengan kini melibatkan 4 hingga 10 orang dalam setiap 100,000 orang. Salah satu komplikasi yang paling serius daripada trombosis vena dalam akut bahagian lengan adalah embolisme pulmonari, iaitu penyumbatan salah satu saluran darah utama di paru-paru. Ini boleh menjadi keadaan yang mengancam nyawa. Sindrom selepas trombosis, di mana pembekuan darah menyebabkan bengkak yang berkekalan, perubahan warna kulit, luka atau ulser, dan penurunan fungsi kaki atau lengan yang terlibat, adalah satu lagi komplikasi serius yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang.

Trombolisis bertujuan untuk memecahkan bekuan darah dengan menggunakan ubat yang diinfusikan secara langsung ke dalam saluran darah. Ulasan Cochrane yang sebelumnya telah meninjau kesan baik dan buruk trombolisis dalam rawatan trombosis vena dalam akut bahagian kaki. Walaupun trombolisis didapati dapat menurunkan risiko sindrom selepas thrombosis, ia tidak mempunyai kesan atas risiko kematian, risiko bekuan darah disebar ke paru-paru atau otak, (di mana ia boleh menyebabkan strok), atau risiko pendarahan di dalam tengkorak. Dalam ulasan semasa ini, kami cuba menilai kebaikan dan keburukan trombolisis dalam rawatan trombosis vena dalam akut bahagian lengan.

Ciri-ciri kajian dan hasil utama

Kami mendapati tiada kajian klinikal rambang (carian terkini sehingga Mac 2017) yang memenuhi kriteria kemasukan ulasan kami. Justeru, kebaikan dan keburukan trombolisis terhadap trombosis vena dalam akut bahagian lengan masih tidak diketahui.

Kesimpulan

Kajian besar yang menggunakan kaedah dan pelaporan yang tepat tentang hasil berkaitan dengan pesakit adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Lin (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi pllee@ms.pmc.edu.my

Tools
Information