Rawatan epilepsi untuk orang dengan penyakit Alzheimer

Latar belakang
Penyakit Alzheimer adalah faktor risiko untuk meningkatkan sawan dalam kalangan orang yang lebih tua. Sebarang jenis sawan boleh dilihat di dalam penyakit Alzheimer dan ia mungkin dipandang kecil.

Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal yang membandingkan rawatan ubatan dan rawatan tidak berdasarkan ubatan untuk epilepsi dalam kalangan orang dengan penyakit Alzheimer. Kami ingin menilai keberkesanan rawatan tersebut berjalan dan jika ia mempunyai sebarang kesan sampingan.

Keputusan-keputusan utama
Kami menyertakan dan menganalisis satu kajian rawak terkawal (satu kajian klinikal di mana peserta diagihkan secara rawak ke dalam satu atau dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 95 peserta. Mengenai perkadaran peserta dengan bebas sawan, tiada perbezaan signifikan didapati antara ubat antiepilepsi (levetiracetam berbanding lamotrigine, levetiracetam berbanding phenobarbital, dan lamotrigine berbanding phenobarbital). Levetiracetam dilihat mampu memperbaiki kognisi (pemikiran) dan lamotrigine mampu melegakan kemurungan; sementara phenobarbital dan lamotrigine boleh menerukkan kognisi, dan levetiracetam dan phenobarbital boleh menerukkan mood.

Kualiti bukti
Kualiti bukti daripada kajian tersebut adalah sangat rendah dan keputusan patut ditafsir dengan berhati-hati. Kajian rawak terkawal besar, dengan reka bentuk buta duaan kumpulan selari, diperlukan untuk menentukan keberkesanan dan toleransi rawatan epilepsi dalam kalangan orang dengan penyakit Alzheimer.

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save