Penggunaan salbutamol (albuterol) dalam pengurusan tachypnea sementara bayi baru lahir

Soalan ulasan: adakah pengunaan salbutamol dapat mengurangkan tempoh terapi oksigen dan keperluan sokongan pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir yang mempunyai tachypnea sementara?

Latar belakang: tachypnea sementara (pernafasan cepat yang tidak normal) bayi baru lahir dicirikan oleh kadar pernafasan yang tinggi (lebih daripada 60 nafas seminit) dan tanda-tanda gangguan pernafasan (kesukaran bernafas); biasanya muncul dalam dua jam pertama kehidupan pada bayi yang dilahirkan pada atau selepas usia kehamilan 34 minggu. Walaupun tachypnea sementara pada bayi baru lahir biasanya bertambah baik tanpa rawatan, ia dikaitkan dengan gejala wheezing pada akhir zaman kanak-kanak. Idea di sebalik pengunaan salbutamol untuk merawat tachypnea sementara bayi baru lahir adalah berdasarkan pada kajian yang menunjukkan bahawa ubat β-agonis, seperti epinephrine (juga dikenali sebagai adrenalin), boleh meningkatkan kadar pembersihan rembesan daripada kaviti kecil (alveoli) dalam paru-paru. Ulasan ini melaporkan dan menganalisa secara kritikal bukti yang sedia ada mengenai keberkesanan pengunaan salbutamol dalam mengurus tachypnea sementara bayi baru lahir.

Ciri-ciri kajian: melalui carian penulisan perubatan yang lengkap sehingga April 2020, kami telah mengenal pasti dan memasukkan tujuh kajian klinikal dengan 498 bayi baru lahir yang membandingkan salbutamol dengan plasebo. Enam kajian menilai satu dos salbutamol tunggal, nebulasi (di mana ubat diberikan dalam kabut halus), dan satu kajian menilai dua dos yang berbeza. Kami menemui lima kajian tambahan yang masih berjalan.

Hasil utama: kami tidak pasti sama ada pemberian salbutamol mengurangkan tempoh terapi oksigen, tempoh tachypnea, keperluan tekanan saluran udara positif yang berterusan dan pengudaraan mekanikal. Salbutamol mungkin mengurangkan sedikit tempoh tinggal di hospital.

Kepastian bukti adalah rendah untuk hasilnya, tempoh tinggal di hospital, dan sangat rendah untuk tempoh terapi oksigen dan tachypnea, keperluan tekanan saluran udara positif yang berterusan dan untuk pengudaraan mekanikal. Disebabkan kepastian bukti sedia ada yang terhad dan rendah, kami tidak dapat menentukan sama ada salbutamol selamat atau berkesan untuk rawatan tachypnea sementara bayi baru lahir.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (RSCI&UCD Malaysia Campus). Diisunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information