Adakah larangan merokok di peringkat institusi membantu orang berhenti merokok?

Sejak beberapa negara melarang merokok di tempat awam pada 2004, terdapat pengurangan pendedahan asap rokok sekunder (dipengaruhi oleh asap daripada perokok lain), dan kesihatan telah bertambah baik bagi perokok dan bukan perokok. Pendedahan kepada asap rokok sekunder boleh meningkatkan peluang penyakit dan kematian, maka beberapa organisasi kesihatan antarabangsa menyokong pengenalan kepada kaedah-kaedah bagi mengurangkan pendedahan kepada tembakau dan asap rokok sekunder, termasuk larangan merokok.

Kajian-kajian telah menunjukan tempat-tempat kerja yang menyediakan perkhidmatan membantu perokok berhenti merokok adalah berkesan. Perkhidmatan termasuk penyediaan terapi penggantian nikotin (NRT) dan sokongan kaunseling untuk membantu perokok berhenti. Walau bagaimanapun, tidak diketahui jika polisi yang melarang orang-orang merokok di dalam institusi adalah berkesan. Walaupun merokok dilarang di kebanyakan tempat-tempat awam, ia tidak dilarang di semua tempat. Merokok dibenarkan di dalam sesetengah organisasi penjagaan kesihatan, universiti dan penjara.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang mengukur samada pengenalan polisi merokok atau larangan, di hospital, universiti atau penjara, mengurangkan pendedahan kepada asap rokok sekunder dan membantu orang untuk berhenti merokok. Kajian boleh di dalam sebarang bahasa. Ia perlu melaporkan maklumat mengenai kesihatan dan merokok sebelum polisi atau larangan dimulakan dan selama sekurang-kurangnya enam bulan selepas. Kami memasukkan 17 kajian di dalam ulasan ini. Dua belas kajian menyediakan bukti dari hospital, tiga dari penjara dan dua dari universiti. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2015.

Keputusan utama

Kami kumpulkan bersama 11 dari kajian yang dimasukkan, melibatkan 12,485 orang, dan mendapati larangan merokok di hospital dan universiti telah meningkatkan bilangan percubaan berhenti merokok dan mengurangkan bilangan perokok. Di penjara, terdapat pengurangan bilangan orang yang mati disebabkan penyakit yang berkait dengan merokok dan pengurangan pendedahan kepada asap rokok daripada perokok lain selepas polisi dan larangan merokok diperkenalkan, tetapi tiada bukti pengurangan kadar merokok.

Kualiti bukti

Kami tidak menemui kajian berkualiti tinggi yang relevan untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami. Penyelidikan berkualiti tinggi di masa hadapan mungkin membawa perubahan kepada kesimpulan ini dan kesimpulan yang kukuh tidak mungkin didapat buat dengan bukti semasa. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan dari kajian yang lebih besar untuk menyiasat larangan merokok dan polisi di persekitaran yang penting ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information