Farmakoterapi untuk berhenti merokok: kesan terhadap subkumpulan yang ditakrifkan oleh "biomarker" secara genetik

Latar belakang

Berhenti merokok secara dramatik mengurangkan risiko kematian pramatang, tetapi kadar berhenti merokok kekal rendah, walaupun dengan bantuan rawatan berhenti merokok. Penyelidikan semasa telah mencadangkan perbezaan dalam bahagian-bahagian gen, yang dipanggil "genotype", boleh membantu kita untuk memberitahu perokok yang mana boleh dibantu dengan rawatan yang berbeza. Namun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan sama ada atau tidak gen-gen mempengaruhi bagaimana pelbagai cara rawatan berkesan membantu orang untuk berhenti.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian tentang perokok yang dirawat dengan ubat untuk membantu mereka berhenti. Kami melihat gen orang-orang dan bagaimana tubuh badan mereka dapat memproses nikotin, kerana ini dapat membantu kami mengenal pasti orang yang lebih cenderung untuk berhenti dengan jayanya. Kami mendapati 33 kajian yang berkaitan, dan memperoleh maklumat yang cukup untuk 18 kajian klinikal, termasuk lebih 9000 perokok, yang melihat pelbagai ubat yang diguna untuk membantu orang berhenti merokok.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan bahawa perokok dengan "genotype" tertentu mungkin lebih cenderung untuk berjaya berhenti merokok dengan penggunaan terapi penggantian nikotin berbanding dengan perokok yang tidak mempunyai "genotype" tertentu. Perokok yang badannya memproses nikotin lebih perlahan mungkin lebih bermanfaat untuk terapi penggantian nikotin. Kami tidak melihat kesan gen pada keberkesanan ubat-ubatan selain terapi penggantian nikotin.

Kualiti bukti

Hasil ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kajian yang dimasukkan tidak memberikan rawatan kepada perokok berdasarkan "genotype" atau kadar mereka memproses nikotin, dan jumlah kajian klinikal yang dimasukkan dalam beberapa perbandingan adalah kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save