Modifikasi persekitaran dan tingkah laku untuk menambahbaik pengambilan makanan dan minuman dikalangan pesakit demensia

Apa yang kami ingin tahu

Kehilangan berat badan, malnutrisi dan dehidrasi merupakan masalah lazim bagi pesakit demensia dan boleh berlaku pada mana-mana peringkat penyakit. Pesakit demensia kerap mengalami simptom psikologi ataupun tingkah laku yang menyebabkan mereka kurang makan atau minum. Di peringkat akhir penyakit, mereka bergantung kepada orang lain untuk membantu mereka makan atau minum. Kami ingin mengetahui bagaimana cara untuk mengekalkan pesakit demensia terus makan dan minum sebaik mungkin. Kami mencari kajian yang mengubah cara makanan dan minuman disajikan kepada pesakit demensia, dan kajian yang cuba mengubah tingkah laku pesakit demensia ataupun mereka yang membantu pesakit untuk makan. Kami menamakannya pendekatan ini sebagai modifikasi persekitaran dan tingkah laku, walaupun sesetengah intervensi merangkumi kedua-dua aspek tersebut. Kami ingin tahu berapakah kadar pemakanan dan kadar minuman yang diambil oleh pesakit demensia dan ke atas ukuran tahap pengambilan nutrisi yang cukup (contoh, berat badan atau indeks jisim tubuh (BMI)), tetapi kami juga ingin melihat kesan kepada tingkah laku pemakanan, simptom demensia dan kualiti hidup.

Bagaimana kami cuba untuk menjawab persoalan

Kami mencari semua kajian rawak terkawal (RCTs) yang relevan kepada soalan kami di atas. Dalam kajian ini, sesetengah pesakit demensia diberikan modifikasi persekitaran ataupun modifikasi tingkah laku yang bertujuan untuk menambahbaik kadar pemakanan dan kadar minum mereka dan kemudiannya membandingkan keputusan ini dengan pesakit lain yang tidak mendapat intervensi tersebut (kumpulan kawalan). Samada seseorang mendapat intervensi ataupun tidak ditentukan secara rawak. Kami menemui sembilan RCTs yang dimasukkan ke dalam ulasan ini. Kesemuanya, 1502 pesakit terlibat dalam kajian ini. Mereka mempunyai tahap demensia yang berbeza, kemungkinan besar kerana kebanyakan mereka menghidap Alzheimer. Tujuh kajian ini dijalankan di rumah-rumah jagaan. Dalam satu kajian, pesakit diberikan snek tambahan di antara masa makan utama dan merekan digalakkan untuk memakannya. Dalam tiga kajian, pesakit demensia diberikan pendidikan mengenai diet dan pemakanan. Dalam dua kajian, pesakit demensia diajar kemahiran untuk membantu mereka makan tanpa bantuan. Dalam tiga kajian, latihan diberikan kepada penjaga yang bertanggungjawab untuk membantu pesakit demensia makan.

Apa yang kami temui

Semua kajian yang kami temui menguji intervensi berlainan dan mengukur kesan-kesan mereka dengan cara yang berlainan. Pada amnya, jumlah peserta kajian adalah kecil dan terdapat masalah dengan cara kajian-kajian ini dijalankan, perkara ini telah mengurangkan keyakinan kami terhadap keputusan yang dilaporkan. Bagi sesetengah intervensi, kualiti bukti adalah tersangat rendah sehingga kami tidak dapat membuat kesimpulan langsung ke atas keputusan yang dilaporkan. Bagi yang lain, terdapat percampuran kesan-kesan positif dan negatif.

Kesimpulan kami

Kerana amaun dan kualiti bukti yang ditemui, kami pada saat ini tidak dapat mengenalpasti mana-mana modifikasi persekitaran atau tingkah laku yang khusus bagi menambahbaik pengambilan makanan dan minuman dikalangan pesakit demensia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save