Intervensi psikologi untuk gangguan stres pasca trauma (PTSD) bagi penghidap penyakit mental yang serius

Latar belakang

Gangguan stres pasca trauma (PTSD) biasanya terjadi selepas seseorang itu mengalami atau menyaksikan peristiwa traumatik, atau mungkin terhasil apabila trauma dialami oleh seseorang yang rapat dengan mereka. Terdapat bukti yang semakin meningkat menunjukkan bahawa penghidap penyakit mental yang serius mudah mendapat PTSD kerana risiko yang lebih tinggi untuk mengalami trauma ketika kanak-kanak dan dewasa. Dianggarkan sekitar satu pertiga daripada individu yang menghidap penyakit mental yang serius juga mengalami PTSD. Terdapat beberapa intervensi psikologi yang sedia ada untuk rawatan PTSD yang secara kolektifnya dikenali sebagai ‘intervensi psikologi yang fokus pada trauma’ (TFPIs).

Mencari bukti

Kami memeriksa Daftar Kajian Kumpulan Skizofrenia Cochrane pada bulan Januari 2015 dan Mac 2016 dan menemui empat kajian berkaitan yang melibatkan 300 orang pesakit dewasa yang menghidap SMI dan PTSD. Peserta kajian menerima rawatan termasuk terapi kognitif dan perilaku yang fokus pada trauma (TF-CBT), teknik penyahpekaan dan pemprosesan semula menggunakan pergerakan mata (EMDR) dan psikopendidikan ringkas. Kesemua terapi ini membantu pesakit untuk memikirkan dan memproses segala ingatan, perasaan dan tingkah laku yang berkait dengan trauma.

Keputusan utama

Apabila TF-CBT dibandingkan dengan rawatan yang biasanya diterima, tiada pengurangan kepada simptom PTSD, psikotik, kemurungan atau kebimbangan atau peningkatan kualiti hidup dilaporkan. Beberapa bukti berkualiti rendah dari 2 kajian melibatkan pesakit SMI dan PTSD mendapati penerima TF-CBT lebih berkemungkinan untuk pulih daripada PTSD, iaitu mempunyai simptom PTSD di bawah paras diagnostik. TF-CBT tidak dikaitkan dengan pertambahan kesan sampingan.

Satu perbandingan yang dilakukan di antara pesakit yang menerima EMDR dengan pesakit yang menunggu rawatan menunjukkan kesan yang menggalakkan untuk pengurangan simptom PTSD (bukti berkualiti sangat rendah). Sekali lagi, tiada perbezaan dalam kesan sampingan. Tidak ada data untuk kesan EMDR ke atas kualiti hidup, psikosis, kemurungan atau kebimbangan.

Satu perbandingan di antara TF-CBT dengan EMDR menunjukkan tidak ada pengurangan pada tahap keterukan simptom PTSD (bukti berkualiti sangat rendah).

Akhir sekali, apabila TF-CBT dibandingkan dengan psikopendidikan ringkas tiada bukti yang menunjukkan mana-mana terapi lebih berkesan dalam merawat pelbagai jenis simptom PTSD.

Kualiti bukti

Ulasan ini mengenal pasti bukti yang terhad dan berkualiti rendah untuk TF-CBT dan EMDR. Kesan daripada rawatan-rawatan ini ke atas pengurangan simptom PTSD masih tidak jelas. Namun, rawatan-rawatan ini tidak menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada menunggu rawatan. Walau bagaimanapun, banyak penemuan penting yang berkenaan tidak dilaporkan and lebih banyak penyelidikan dalam kelebihan intervensi psikologi yang fokus pada trauma untuk pesakit yang menghidap SMI dan PTSD diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rafidah Bahari (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi rafidahbahari@cybermed.edu.my.

Tools
Information